Dewan perniagaan Cina, Islam sokong kuat kuasa lebih ketat kawalan Covid-19

Pihak berkuasa disaran melaksanakan penguatkuasaan lebih ketat perintah larangan pergerakan dan tindakan diambil ke atas pihak yang melanggarnya.

PETALING JAYA: Dua badan mewakili perniagaan Cina dan Islam menyokong penguatkuasaan lebih ketat perintah kawalan pergerakan (MCO), sekali gus mengingatkan kesan buruk pandemik Covid-19 ke atas ekonomi.

“Penularan wabak ini membawa kesan buruk jauh lebih besar berbanding krisis kewangan Asia Timur 1997-98,” kata Dewan Perniagaan Cina Malaysia (MCCC) dan Dewan Perniagaan Islam Malaysia (MICC) dalam satu kenyataan bersama.

Mereka menggesa semua pihak bersikap bertanggungjawab dan berstrategi, selain meminta kerajaan menyediakan jaring keselamatan untuk pekerja, keluarga dan perniagaan.

Dua kumpulan itu juga mengingatkan bahawa pelanjutan MCO yang dijadual berakhir pada 31 Mac ini akan memberi kesan besar ke atas perniagaan.

“Jika virus ini terus menular, perintah kawalan lebih meluas akan dibuat dan akan menyebabkan syraikat bankrap, meningkatkan jumlah pengangguran serta menimbulkan kekacauan dalam masyarakat,” katanya.

Kenyataan itu dibuat susulan laporan bahawa ramai rakyat Malaysia tidak mematuhi peraturan MCO dengan bersungguh-sungguh, termasuk arahan supaya berada di rumah.

MCCC dan MICC berkata, pihak berkuasa negeri dan tempatan hendaklah mengeluarkan garis panduan mengenai MCO yang jelas, konsisten dan selaras bagi mengelakkan kekeliruan.

“Penguatkuasaan lebih ketat patut dibuat dengan lebih banyak sekatan jalan diadakan dan tindakan undang-undang dikenakan ke atas mereka yang melanggarnya,” katanya.

Mereka juga menggesa bantuan kewangan dan sokongan sosial disediakan kepada golongan berisiko, termasuk isi rumah B40, ibu tunggal, pekerja asing dan pelarian, selain pelonggaran syarat pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) oleh pencarum.

“Ini sangat penting terutama bagi kumpulan yang pendapatan utama mereka adalah daripada komisen.”

Beberapa institusi kewangan sebelum ini bersetuju membenarkan penangguhan bayaran balik pinjaman.

Perintah kawalan pergerakan selama 2 minggu yang diumumkan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada Isnin, antara lain hanya membenarkan perkhidmatan perlu terus beroperasi dalam tempoh itu.