Hadkan pembelian akan cetus panik, kata NGO pengguna

Persatuan Pergerakan Pengguna Malaysia menggesa rakyat membeli barang yang diperlukan saja ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan sehingga 31 Mac ini.

PETALING JAYA: Sebuah kumpulan pengguna tidak bersetuju dengan gesaan untuk kerajaan mengehadkan pembelian barang keperluan asas di pasar raya bagi memastikan bekalan mencukupi sepanjang perintah kawalan pergerakan selama 2 minggu kerana ia akan mencetuskan satu lagi pusingan pembelian panik.

Persatuan Pergerakan Pengguna Malaysia (MCM) berkata, cadangan Pakatan Harapan untuk mengehadkan pembelian akan memberi bayangan bekalan di pasaran tidak mencukupi.

“Jika anda mula meletakkan had, pengguna akan menganggap ada masalah dengan bekalan dan ini boleh menyebabkan pembelian panik. Ini ialah perkara terakhir yang kita mahukan,” kata aktivis MCM, Ben Johl kepada FMT.

Rabu lalu, PH mencadangkan kerajaan mengehadkan pembelian untuk barang keperluan asas di pasar raya menggunakan kuasa menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Katanya, pasar raya boleh mengehadkan pembelian seperti ketika jualan murah dengan menetapkan had untuk pembelian sesuatu produk.

Ini susulan laporan pembelian panik dan pencatutan akibat perintah kawalan pergerakan yang dilaksanakan untuk membendung penularan Covid-19.

Johl berkata, menetapkan had pembelian mungkin menjadi pilihan jika pengguna terus membeli dalam jumlah banyak dan menyorokkan barang keperluan, tetapi beliau menggesa pihak berkuasa mengelakkan untuk mengehadkan pembelian buat masa ini.

“Buat masa ini, kerajaan perlu terus memberi jaminan kepada rakyat terdapat bekalan mencukupi dan mereka hanya patut membeli apa yang diperlukan saja.”

Katanya, pengguna hanya perlu membeli barang seperti sedia kala dan apa yang diperlukan.

“Ia adalah perintah kawalan pergerakan, bukannya sekatan keluar masuk. Rakyat perlu memahaminya.”

Di England, 2 peruncit utama – Tesco dan Sainsbury’s – terpaksa mengehadkan pembelian untuk menangani pembelian panik oleh pengguna, manakala polis Indonesia turut mengarahkan peruncit berbuat demikian susulan peningkatan kes Covid-19 di negara itu.

Isnin lalu, pembelian panik berlaku di kalangan rakyat Malaysia susulan khabar angin kerajaan akan melaksanakan perintah berkurung.

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengumumkan perintah kawalan pergerakan pada Isnin malam yang berkuat kuasa hingga 31 Mac ini dengan mengharamkan perhimpunan besar-besaran untuk kegiatan agama, sukan, sosial dan kebudayaan, manakala sekolah, premis kerajaan dan perniagaan pula ditutup.

Hanya perkhidmatan asas, pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan pasar mini dibenarkan beroperasi, sementara kedai makan dibenarkan beroperasi untuk perkhidmatan penghantaran dan bawa pulang saja.