Kerajaan benarkan import topeng, kata menteri

Alexander Nanta Linggi berkata, harga topeng dinaikkan daripada 80 sen kepada RM2 sekeping susulan kenaikan kos bahan. (Gambar Facebook)

PUTRAJAYA: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Alexander Nanta Linggi berkata, kerajaan kini membenarkan pengimportan topeng untuk menangani kekurangannya disebabkan krisis Covid-19.

Katanya, harga topeng turut dinaikkan daripada 80 sen kepada RM2 sekeping.

“Ini kerana masalah masalah kenaikan harga bahan yang digunakan membuat topeng. Jadi kalau masih hadkan kepada 80 sen sekeping, pengusaha atau kilang kita pun tidak mampu lagi mengeluarkan (topeng).

“Diharapkan ini akan menggalakkan import (topeng) ke negara kita.

“Jadi ini kita lihat sebagai satu langkah untuk menangani kekurangan topeng,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat dengan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Ronald Kiandee di sini hari ini.

Beliau berkata, kerajaan turut memutuskan untuk melarang pengeksportan topeng buat masa ini.

Ini susulan kenyataannya awal bulan ini kerajaan sedang mempertimbangkan pengimportan topeng.

Sementara itu, Ronald berkata, bekalan ayam dan telur mencukupi dalam negara dan kementeriannya tidak menerima sebarang aduan peniaga menjual telur RM1 sebiji.

“Kami sentiasa berhubung rapat dengan penternak dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan melakukan yang terbaik untuk memudahkan bekalan.”