Ketahui bagaimana Korea Selatan lawan Covid-19 dengan teknologi ‘Big Data’ dan ‘AI’

Tentera tentera Korea Selatan memakai pakaian perlindungan bergerak untuk menyembur pembasmian kuman di Daegu, Korea Selatan. (Gambar AP)

Eropah kini menjadi pusat pandemik Covid-19.

Ini kerana jumlas kes dan kematian melonjak di Itali, Sepanyol, Perancis, dan Jerman manakala banyak negara telah mengenakan lockdown dan menutup laluan keluar masuk negara.

Sementara itu, usaha Amerika Syarikat pula terjejas apabila kit ujian tertangguh dan rosak dan ia dilihat akan melambatkan proses ujian saringan Covid-19.

Sebahagian pakar percaya negara AS berada pada trajektori yang sama seperti negara lain di Eropah.

Beberapa minggu yang lalu, Korea Selatan menyaksikan peningkatan kes Covid-19 yang mendadak.

Sebahagian besar daripada kes yang dilaporkan berpunca daripada kultus ajaran sesat Shincheonji yang menggalakkan pengikutnya menyebarkan virus ini.

Di tengah-tengah trend ini, Korea Selatan telah muncul sebagai harapan dan model untuk diikuti oleh negara lain.

Negara ini berjaya memperlahankan penularan Covid-19 ini dengan laporan hanya 74 kes baru pada 17 Mac, turun daripada 909 sewaktu puncaknya pada 29 Februari.

Lebih menarik, kerajaan Korea Selatan melakukannya tanpa perlu mengisytiharkan kawalan pergerakan atau lockdown. Jadi, apakah rahsianya?

Kebergantungan pada teknologi

Korea Selatan sedang memerangi Covid-19 dengan bergantung kepada teknologinya.

Negara ini mempunyai platform digital maju untuk “Big Data” dan kecerdasan buatan (AI).

Dengan menggunakan analisis Big Data, sistem amaran awal AI, dan metodologi pemerhatian yang intensif, Korea Selatan berjaya membawa keadaan Covid-19 di negara itu dalam kawalan dalam masa yang singkat.

Platform Big Data yang dikendalikan oleh kerajaan menyimpan maklumat semua warganegara dan warga asing yang tinggal dan mengintegrasikan semua organisasi kerajaan, hospital, perkhidmatan kewangan, pengendali mudah alih dan perkhidmatan lain ke dalamnya.

Korea Selatan menggunakan analisis, maklumat dan rujukan yang disediakan oleh data bersepadu ini semua tindak balas dan maklumat masa nyata yang berbeza yang dihasilkan oleh platform akan disampaikan dengan segera kepada rakyatnya yang menggunakan pelbagai aplikasi berasaskan AI.

Setiap kali seseorang diuji positif untuk Covid-19, semua orang di sekitarnya disediakan dengan butiran perjalanan, aktiviti, dan peta perjalanan individu yang dijangkiti untuk dua minggu sebelumnya melalui pemberitahuan mudah alih yang dihantar melalui sistem notifikasi di telefon pintar.

Perkhidmatan kesihatan yang dikendalikan oleh kerajaan menerima maklumat mengenai kenalan orang tersebut, menjadikannya lebih mudah untuk mengesan mereka yang telah mempunyai hubungan rapat dengan pesakit, dan mengarahkan mereka datang membuat ujian saringan.

Penggunaan AI memastikan pelaksanaan segera semua langkah ini.

Hospital, perkhidmatan ambulans, makmal ujian mudah alih semuanya bergantung kepada sektor IT dan teknologi untuk menyampaikan perkhidmatan segera dan cekap.

Kewujudan pusat saringan pandu-lalu

Korea Selatan juga memperkenalkan ujian Covid-19 pandu-lalu di mana seseorang boleh memandu kereta ke sebuah makmal ujian bergerak, memberikan sampel semasa duduk di dalam kenderaan, dan mendapat keputusan ujian dalam masa beberapa minit.

Sekiranya didapati dijangkiti, mereka segera dikuarantin dan dibawa ke kemudahan rawatan khusus.

Banyak makmal pandu-lalu di serata negara terutamanya di kawasan bandar, dijalankan dengan kemudahan 5G yang disediakan oleh pengendali mudah alih.

Mereka yang memandu di jalan raya diberitahu tentang makmal pandu-lalu terdekat di mana mereka boleh menjalani ujian perubatan.

Jika mana-mana individu yang dijangkiti tinggal atau bekerja di sebuah bangunan besar, pusat perubatan sementara ditubuhkan di sana untuk memberikan ujian perubatan kepada semua penghuni atau penduduk setempat.

Seorang pekerja yang memakai alat penyembur semburan perlindungan terhadap Covid-19 di hadapan Hospital Daenam di Cheongdo, Korea Selatan. (Gambar AP)

Kawalan harga barangan keperluan

Kerajaan telah melaksanakan peraturan dan reka bentuk berasaskan AI untuk memastikan bekalan dan pengedaran topeng dan barang pencegahan lain lebih efektif, seterusnya mengelakkan penduduk membuat pembelian panik.

Setiap orang boleh menggunakan kad ID mereka untuk membeli 2 topeng pada satu masa dari farmasi berdekatan.

Walaupun beberapa minggu telah berlalu sejak wabak itu bermula di Korea Selatan, tidak ada peningkatan mendadak dalam harga keperluan harian seperti beras, minyak, makanan bayi, dan lain-lain.

Kemudahan data dengan bantuan Big Data dan AI ini telah membolehkan Korea Selatan menentukan atau memutuskan untuk mengambil inisiatif mengenai aspek yang berkaitan.

Banyak negara tidak mempunyai platform data digital sebegini atau kebolehan dan logistik teknologi yang mencukupi untuk mempraktikkan perkara sama.

Dalam ucapannya kepada rakyat negara itu, Perdana Menteri Korea Selatan, Chung Sye-kyun menekankan perlunya setiap rakyat berjaga-jaga tanpa menjadi panik dan menyatakan bahawa semua orang berada dalam risiko untuk dijangkiti.

Belajar daripada wabak MERS

Korea Selatan mengetahui betapa pentingnya mempunyai persediaan rapi dan berjaga-jaga dalam menghadapi segala kemungkinan.

Pada 2015, seorang usahawan Korea Selatan yang telah menghidapi Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS) selepas kembali dari lawatan ke tiga negara Timur Tengah.

Dia telah dirawat di 3 pusat kesihatan Korea Selatan sebelum dia didiagnosis dengan MERS dan mula kuarantin.

Pada masa itu, beliau telah menyebabkan rangkaian penularan dengan menjangkiti 186 pesakit dan membunuh 36 pelawat hospital dan kakitangan hospital.

Usaha mengesan, membuat saringan dan kuarantin yang melibatkan hampir 17,000 orang berjaya menghalang penularan wabak itu selepas 2 bulan.

Kesan daripada wabak itu sudah cukup menakutkan kerajaan sehingga menyebabkan Korea mengalami krisis ekonomi.

Pengalaman daripada MERS itu menunjukkan bahawa ujian makmal penting untuk mengawal penyakit berjangkit yang baru muncul.

Pengalaman daripada MERS telah membantu Korea Selatan memperbaiki aspek pencegahan dan kawalan jangkitan di hospital.

Setakat ini, tiada laporan jangkitan Covid-19 di kalangan pekerja kesihatan di Korea Selatan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]