Lelaki ditahan halang tugas polis ketika perintah kawalan pergerakan

Adzli Abu Shah mengingatkan orang ramai tidak memandang ringan perintah kawalan pergerakan dan akur kepada arahan pihak berkuasa yang menjalankan pemantauan. (Gambar Bernama)

SUNGAI PETANI: Seorang lelaki berusia 30-an ditahan di sebuah rumah ibadat, di sini kerana menghalang tugas penjawat awam dengan mempertikai dan menghamburkan kata-kata kesat kepada polis selepas diminta akur kepada perintah kawalan pergerakan yang sedang dikuatkuasakan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Adzli Abu Shah berkata, polis yang membuat pemantauan di rumah ibadat itu kira-kira 10.30 pagi semalam berikutan penguatkuasaan perintah berkenaan mendapati sekumpulan individu berada di sana.

“Pihak polis telah memberi penjelasan kepada mereka mengenai perintah ini dan meminta mereka beredar dan mereka yang lain akur cuma seorang individu cuba mempertikaikan pihak berkuasa, jadi polis memutuskan untuk tahan dia.

“Kita tahan dia bukan sebab langgar syarat perintah kawalan pergerakan, tapi kerana menghalang tugas penjawat awam selepas kita minta dia beredar, dia tidak mahu beredar, dia maki kita, tidak mahu bagi kerjasama,” katanya kepada pemberita semalam.

Adzli mengingatkan orang ramai tidak memandang ringan perintah kawalan pergerakan dan akur kepada arahan pihak berkuasa yang menjalankan pemantauan.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador mengeluarkan nasihat kepada orang ramai agar patuh kepada semua arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa susulan perintah kawalan pergerakan bagi mengelakkan mereka dikenakan tindakan undang-undang.