Malaysia catat 130 kes baru Covid-19 menjadikan jumlah 1,030

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 12 pesakit sembuh sepenuhnya dan dibenarkan pulang hari ini, menjadikan semua 87 kes pulih setakat ini. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Malaysia mencatatkan 130 kes baru Covid-19 hari ini menjadikan jumlah keseluruhan pesakit 1,030 orang, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

48 daripada kes terbaru mempunyai kaitan dengan perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling di sini awal bulan ini.

Hisham berkata, 26 pesakit kini ditempatkan di wad rawatan intensif (ICU).

Katanya, 12 pesakit sembuh sepenuhnya dan dibenarkan pulang hari ini, menjadikan semuanya 87 kes pulih setakat ini.

Dalam pada itu Hisham berkata, walaupun berada di dalam rumah, orang ramai disarankan supaya kekal aktif, sama ada melalui senaman atau aktiviti fizikal lain.

Katanya, pada masa kini terdapat pelbagai senaman di rumah yang boleh dilakukan seperti senaman yang berbentuk kardio bagi yang mempunyai basikal senaman atau “treadmill”.

“Senaman yang menggunakan berat badan sendiri, seperti ‘push-up’, ‘squat’, ‘plank’, ‘burpee’ dan ‘lounge’ (yang menggunakan pelbagai otot tanpa memerlukan peralatan khusus), senaman ‘Tabata’ dan senaman ringan seperti yoga atau tai chi.

“Rakyat Malaysia juga boleh kekal aktif dengan melakukan pelbagai bentuk tarian dan mengambil peluang untuk melakukan ‘spring cleaning’ di dalam rumah.

“Kajian menunjukkan senaman dan aktiviti fizikal adalah penting untuk mengekalkan kesihatan mental dengan meningkatkan mood dan melegakan kebimbangan dan keresahan.

“Ia membantu mengasah minda, meningkatkan kekuatan otot dan kekuatan aerobik,” katanya.

Hisham berkata, jika berasa tidak sihat, orang ramai boleh menghubungi “virtual health advisory” dan mengikuti sesi Webinar yang akan diadakan setiap hari bermula jam 9.00 pagi melalui pautan: http://www.doctoroncall.com.my/coronavirus.

“Orang awam juga boleh menghubungi talian Pusat Respons dan Kesiapan Krisis Kebangsaan (CPRC), KKM.

Maklumat lanjut mengenai kejadian Covid-19 di Malaysia boleh juga didapati melalui saluran telegram CPRC Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.