Menteri WP minta 7 pusat tahfiz, pemegang kad UNHCR tampil jalani ujian Covid-19

Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa berkata, DBKL mempunyai hampir 2 ribu kakitangan penguatkuasa untuk memastikan perintah kawalan pergerakan dipatuhi.

KUALA LUMPUR: Sebanyak 7 pusat tahfiz dan beberapa persatuan yang menghadiri himpunan jemaah tabligh di Masjid Sri Petaling, baru baru ini diminta hadir membuat ujian saringan Covid-19 secara sukarela di fasiliti kesihatan dengan segera.

Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa berkata, 7 persatuan itu dipercayai membawa sekumpulan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) ke majlis ijtimak tabligh di situ.

Katanya, semua pusat tahfiz dan persatuan itu sudah dikenal pasti keberadaan dan situasi mereka.

Bagaimanapun Annuar berkata, pihaknya mengharapkan mereka yang terbabit memberi kerjasama penuh dalam usaha mengawal penularan wabak Covid-19, terutama dalam tempoh perintah kawalan pergerakan yang masuk hari ketiga, hari ini.

Tegasnya, pihak berkenaan akan dihubungi untuk dibantu dalam mematuhi prosedur saringan.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN), di sini.

Hadir sama, Ketua Polis KL, Mazlan Lazim dan Datuk Bandar KL, Nor Hisham Ahmad Dahlan.

Annuar berkata, mesyuarat yang pertama kali diadakan itu tertumpu kepada perkara berkaitan kawalan pergerakan dan status Covid-19 di Wilayah Persekutuan.

Mengulas lanjut katanya, hasil mesyuarat itu memutuskan mesyuarat JKKN diadakan secara harian dalam kumpulan kecil bagi mematuhi peraturan kawalan ditetapkan, iaitu tidak melakukan himpunan seramai lebih 50 orang.

“Setiap hari kami akan integrasikan laporan daripada agensi di KL dan Putrajaya.

“Semua agensi ada operasi masing-masing. Polis ada operasi enforcement (penguatkuasaan). DBKL pula ada hampir 2 ribu kakitangan penguatkuasa untuk pastikan perintah kawalan pergerakan dipatuhi.

Jelasnya, akibat kurang kefahaman mengenai perintah kawalan pergerakan menyebabkan orang ramai cenderung tidak mematuhi peraturan yang berkuat kuasa sejak 18 Mac lalu.

“Mereka rasa mereka tak terlibat dengan jangkitan itu.

“Sekiranya arahan ini difahami, penduduk yang menetap di seluruh Wilayah Persekutuan dan di ibu kota, maka perintah kawalan pergerakan akan mudah dipatuhi,” katanya.