Musa Aman ke Mahkamah Persekutuan cabar kesahan KM Sabah

Bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman.

PETALING JAYA: Bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan untuk mendapatkan pengisytiharan beliau ialah ketua kerajaan negeri yang sah 2 tahun lalu.

Peguam Anantham Kasinather yang menganggotai pasukan guaman Musa, berkata kira-kira 15 soalan perundangan dan perlembagaan sudah dirangka untuk mahkamah tertinggi itu memberi kebenaran mendengar merit kes berkenaan.

“Kita patut boleh mempertimbangkan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Perak pada 2010, jika kebenaran diberikan,” katanya kepada FMT.

Menurut keputusan kontroversi itu, ketua negeri boleh faktor tidak berkaitan untuk menentukan sama ada ketua kerajaan sudah hilang kepercayaan majoriti Adun atau ahli Parlimen.

Anantham yang juga hakim bersara Mahkamah Rayuan, berkata permohonan kebenaran difailkan pada Disember lalu dan mereka sedang menunggu tarikh ditetapkan untuk mendengar permohonan itu.

Pada 28 Nov lalu, Mahkamah Rayuan menolak rayuan Musa ke atas penghakiman Mahkamah Tinggi untuk mengetepikan dakwaannya sebagai ketua menteri Sabah yang sah.

Panel 3 hakim yang terdiri daripada Mohamad Zabidin Mohd Diah, Kamardin Hashim dan Rhodzariah Bujang membenarkan bantahan awal Douglas Lind, peguam yang mewakili Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal.

Kamardin berkata, mereka membenarkan bantahan awal itu yang mengetepikan rayuan berkenaan selepas bersetuju dengan peguam Shafie, kes itu bersifat akademik.

Katanya, walaupun isu yang dibangkitkan dalam rayuan berhubung kesahan ketua menteri Sabah adalah penting, ia tidak mempunyai kepentingan awam yang luar biasa.

“Walaupun jika rayuan itu berjaya, ia tidak akan menjadikan beliau (Musa) sebagai ketua menteri semula kerana beliau tidak memenuhi peruntukan di bawah Perkara 6(3) Perlembagaan Sabah,” kata Kamardin dalam penghakiman sepanjang 51 halaman.

Peruntukan itu menyatakan gabenor Sabah akan melantik ketua menteri daripada kalangan Adun yang mendapat kepercayaan majoriti Adun.

Pada pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei 2018, Musa memimpin Barisan Nasional (BN) memenangi 29 kerusi. Gabungan pembangkang merangkumi Shafie daripada Warisan, DAP dan PKR mempunyai 29 kerusi, manakala Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) menang 2 kerusi.

Keesokannya, Musa mengangkat sumpah sebagai ketua menteri selepas BN dan STAR mempunyai 31 daripada 60 kerusi Dewan Undangan Negeri Sabah.

Bagaimanapun, 2 hari kemudian, 5 Adun daripada Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu menyokogn Shafie.

Shafie kemudiannya mengangkat sumpah sebagai ketua menteri, menyebabkan Musa memohon pengisytiharan daripada mahkamah yang beliau masih ketua kerajaan sah kerana tiada undi percaya dibuat terhadapnya.

Hakim Mahkamah Tinggi, Yew Jen Kie merujuk kes Perak untuk memutuskan Gabenor Sabah, Juhar Mahiruddin mempunyai kuasa menyingkirkan ketua menteri.