P Pinang terbuka cara Pahang pendekkan waktu perniagaan jika Covid-19 tambah teruk

Chow Kon Yeow berkata, tumpuan kini ialah pematuhan orang ramai terhadap perintah kawalan pergerakan.

GEORGE TOWN: Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri itu terbuka kepada langkah memendekkan waktu perniagaan seperti dilakukan di Pahang, jika perintah kawalan pergerakan tidak mampu membendung penularan Covid-19 di negeri berkenaan.

“Jika perintah kawalan pergerakan mencapai objektifnya, (langkah) penutupan cara Pahang tidak perlu.

“Tetapi, kita terbuka kepada konsep ini dan jika perlu, majlis perbandaran kami boleh mengehadkan waktu pembukaan premis,” katanya dalam siaran langsung Facebook hari ini.

Beliau berkata, tumpuan kini ialah pematuhan orang ramai terhadap perintah kawalan pergerakan.

“Saya pasti rakyat tahu hasrat kerajaan menggunakan tentera jika pematuhan rendah terhadap perintah kawalan pergerakan.”

Semalam, Pahang mengumumkan premis perniagaan di 5 daerah, termasuk kedai serbaneka 24 jam, tidak dibenarkan beroperasi mulai 7 malam hingga 7 pagi bermula Sabtu ini.

Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail dilaporkan berkata, arahan itu untuk mengekang penularan Covid-19 berikutan kes positif virus itu dilaporkan di daerah terbabit.

Dalam perkembangan lain, Chow berkata, penjawat awam di Pulau Pinang akan menerima gaji mereka hari ini.

Katanya, beliau akan membangkitkan beberapa perkara dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Nasional (MKN) di Putrajaya hari ini.

Chow berkata, pihaknya akan menyemak status pakej rangsangan ekonomi RM30 juta yang diminta kerajaan Pulau Pinang berikutan krisis Covid-19.

Beliau berkata, Pulau Pinang turut meminta Putrajaya lebih tegas dalam penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan selama 2 minggu ke atas kilang dan lebih jelas mengenai prosedur untuk kemudahan pembuatan utama.

Mengenai peralatan perubatan di hospital dan klinik kerajaan di Pulau Pinang, termasuk termometer, topeng mulut, cecair pembasmi kuman tangan dan peralatan perlindungan lain, katanya: “Saya akan mengehadkan pengeksportan topeng mulut oleh pengeluar tempatan untuk memenuhi permintaan domestik.”

Pulau Pinang mencatatkan 2 lagi kes Covid-19 semalam, dengan 900 kes positif dilaporkan di seluruh negara.