Panglima ATM arah perkhidmatan tentera tidak bercanggah, patuh perintah kawalan pergerakan

Panglima ATM Affendi Buang berkata, sebagai benteng pertahanan negara, aspek kedaulatan negara perlu didahulukan dalam apa jua situasi.

PETALING JAYA: Panglima Angkatan Tentera (ATM), Affendi Buang mengarahkan setiap perkhidmatan memperincikan perkara-perkara berkaitan aspek operasi, latihan dan kursus, eksesais, pentadbiran dan logistik agar pelaksanaannya tidak bercanggah serta mematuhi perintah kawalan pergerakan.

Beliau berkata, untuk itu sebarang aktiviti latihan tentera akan ditangguh.

“Sebagai benteng pertahanan negara, aspek kedaulatan negara perlu didahulukan dalam apa jua situasi.

“Semua operasi dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan negara tetap dilaksanakan agar ia kekal terpelihara,” katanya dalam satu perutusan khas kepada warga tentera mengenai wabak Covid-19

Affendi juga mengingatkan semua warga tentera untuk mematuhi perintah kawalan pergerakan bermula 18 hingga 31 Mac ini serta arahan semasa yang dikeluarkan di peringkat perkhidmatan darat, laut dan udara.

“Sikap ambil peduli tentang saranan pencegahan Covid-19 perlu dipatuhi bagi tujuan perlindungan diri, keluarga dan masyarakat.

“Tidak perlu membuat pembelian panik. Tidak perlu pulang ke kampung sekiranya tiada sebarang urusan kecemasan.

“Please stay at home. Fahami maksud ‘social distancing’. Jagalah kebersihan diri dan dapatkan rawatan awal sekiranya terdapat simptom virus ini pada diri anda.

“Semua amalan tersebut akan mengurangkan risiko dijangkiti atau menjangkiti orang lain. Ingat, ‘mencegah adalah lebih baik dari merawat’,” katanya.

Sebelum itu, Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata, tentera akan digerakkan bagi membantu polis menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan bagi memastikan orang ramai mematuhi arahan kerajaan sepanjang tempoh itu.

Ismail pada sidang media selepas mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri mengenai perintah kawalan pergerakan di Jabatan Perdana Menteri hari ini berkata, tentera mula akan digerakkan pada Ahad.