Pemecatan Marzuki tidak sah, kata Mahathir

Dr Mahathir Mohamad berkata, keputusan Muhyiddin Yassin memecat setiausaha agung PPBM Marzuki Yahya adalah tidak sah.

PETALING JAYA: Pengerusi PPBM Dr Mahathir Mohamad hari ini membantah pemecatan Marzuki Yahya sebagai setiausaha agung parti oleh presiden, Muhyiddin Yassin.

Dalam satu surat kepada Muhyiddin yang dilihat FMT, Mahathir berkata, presiden mesti terlebih dahulu perlu melalui proses rundingan dengan pengerusi selaras dengan perlembagaan PPBM.

Dalam surat itu lagi Mahathir berkata, maksud berunding dalam konteks itu bukan setakat presiden memaklumkan kepada pengerusi, tetapi ia mesti mencapai tahap perbincangan yang bersungguh-sungguh berkenaan hal ehwal melantik pegawai parti.

“Justeru, saya mengatakan pemberhentian Marzuki sebagai setiausaha agung Bersatu oleh Muhyiddin adalah tidak sah dan/atau perlu diketepikan,” katanya dalam surat itu.

Muhyiddin memaklumkan kepada Marzuki mengenai pemecatannya sebagai setiausaha agung parti dalam surat bertarikh 18 Mac, dengan ahli Parlimen Larut, Hamzah Zainuddin mengambil alih jawatan itu.

Apabila dihubungi FMT, Marzuki berkata beliau tidak akan merayu berhubung pemecatan itu.

Pada 29 Feb, Muhyiddin berkata, beliau akan menjadi pemangku pengerusi parti sehingga pemilihan parti diadakan, selain menambah bahawa Mahathir telah melepaskan jawatannya pada 24 Feb.

“Menurut Klausa 16.9 perlembagaan parti, jika pengerusi berhenti atau dipecat, presiden perlu mengambil jawatan itu sehingga pemilihan diadakan untuk memilih pengerusi baru.

“PPBM masih belum mengadakan pemilihan untuk memilih pengerusi baru, sebagai presiden, saya akan bertindak sebagai pengerusi sehingga pemilihan diadakan,” katanya dalam satu kenyataan sebelum ini.