PH kesal kerajaan mahu naik harga jualan topeng

Majlis Setiausaha PH berkata, kenaikan 150% harga jualan penutup hidung dan mulut dilihat terlalu mendadak dan keterlaluan.

PETALING JAYA: Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) kesal atas pengumuman kerajaan yang mahu menaikkan harga pasaran bagi penutup hidung dan mulut 3 lapis (3 ply face mask) dari 80 sen hingga RM 2 sekeping.

Ini susulan kenyataan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sebelum ini bahawa kerajaan bercadang menyekat eksport topeng itu berkuat kuasa 18 Mac lalu.

Perkembangan ini menyebabkan harga jualan topeng berubah.

Majlis berkenaan menyifatkan kenaikan harga jualan sebanyak 150% sebagai mendadak dan keterlaluan.

“Ia tidak membantu meredakan keadaan kerana isu utama adalah bekalan tidak mencukupi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru, ia menggesa kerajaan memuktamadkan keputusan bersama pemain industri dalam usaha meningkatkan pengeluaran topeng bereknaan.

Tambah kenyataan itu, melalui perbincangan lalu (kerajaan PH), mereka yakin ada 4 perkara perlu dilaksana segera bagi mengatasi masalah itu.

“Langkah pertama adalah kerajaan perlu membantu industri mengatasi masalah pekerja yang tidak mencukupi, selain mempercepat proses meluluskan penambahan syif operasi dari 2 kepada 3 syif sehari.

Kerajaan juga perlu memberi pengecualian atau pelepasan cukai tertentu, seperti tertakluk di bawah Akta Kastam 1967.

Industri juga perlu dimudahkan dalam memperoleh bahan mentah bagi meningkatkan pengeluaran topeng.

Mengulas lanjut, PH berharap kerajaan mengadakan perbincangan dengan kerajaan China dengan mengambil kira negara itu sebagai pengeluar topeng terbesar.

Selain itu,katanya, ia turut membolehkan syarikat di Malaysia mengimport topeng dari negara itu berikutan wabak Covid-19 semakin reda di China.