Polis dipanggil selepas bapa peserta tabligh enggan buat ujian Covid-19

Tangkap layar daripada rakaman video menunjukkan pegawai polis memakai sut perlindungan membawa seorang warga emas keluar dari pangsapurinya dan mengiringinya ke sebuah ambulans untuk menjalani ujian saringan Covid-19.

KOTA KINABALU: Polis dipanggil untuk membawa seorang lelaki di Labuan menjalani ujian saringan Covid-19 selepas anaknya didapati menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling di Kuala Lumpur akhir bulan lalu.

Pihak berkuasa kesihatan mengarahkan lelaki berusia 68 tahun itu menjalani ujian saringan secara sukarela selepas anaknya memaklumkan beliau tinggal dengan bapanya.

Tetapi apabila kakitangan Jabatan Kesihatan ke pangsapuri lelaki itu di Taman Mutiara Sg Bedaun, mereka terpaksa mendapatkan bantuan polis kerana warga emas terbabit enggan mematuhi arahan mereka.

Rakaman video pegawai polis memakai sut perlindungan memaksa lelaki itu keluar dari pangsapurinya dan mengiringinya ke sebuah ambulans tersebar di media sosial.

Dalam satu klip video itu, lelaki terbabit dilihat cuba melawan polis yang cuba menahannya.

Ketua Polis Daerah Labuan, Muhamad Farid Ahmad berkata, lelaki itu dikehendaki ke Hospital Labuan menjalani ujian saringan kerana beliau ialah kontak rapat anaknya yang menyertai perhimpunan tabligh terbabit.

Perhimpunan itu dikaitkan dengan lebih separuh daripada 900 kes positif Covid-19 di Malaysia setakat ini.

“Pada 17 Mac lalu, Hospital Labuan memintanya menjalani ujian saringan secara sukarela, tetapi beliau mengabaikan arahan itu.

“Selepas itu, pasukan kesihatan pergi ke rumahnya untuk membawa beliau ke hospital semalam, tetapi sekali lagi beliau enggan memberi kerjasama,” kata Farid sambil menambah mereka terpaksa mendapatkan bantuan polis.

“Pada 4 petang, polis dari Jabatan Siasatan Jenayah ke sana dan menggunakan sedikit paksaan yang diperuntukkan di bawah Seksyen 15(2) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, untuk membawa lelaki itu ke hospital.”

Katanya, lelaki itu kini dikuarantinkan di hospital selama 14 hari.