Selangor beri elaun makanan, tangguh sewa, cukai dalam pakej rangsangan RM128 juta

Kerajaan Selangor mengumumkan peruntukan untuk membantu golongan terjejas akibat penularan Covid-19.

PETALING JAYA: Kerajaan Selangor memperuntukkan RM127.78 juta untuk membantu golongan terjejas akibat penularan pandemik Covid-19, termasuk elaun makanan berjumlah RM1.2 juta bagi kira-kira 6,000 pekerja kesihatan sepanjang pelaksanaan perintah kawalan pergerakan.

Menteri Besar, Amirudin Shari turut menyenaraikan 6 kumpulan lain yang akan menerima bantuan kerajaan, termasuk menangguhkan bayaran balik pinjaman dan pengecualian sewa untuk sesetengah peniaga dan penjaja berlesen.

Kira-kira 80,000 orang juga akan mendapat bantuan “one-off” sebanyak RM500 yang akan diagihkan selepas perintah kawalan pergerakan berakhir.

Pakej itu turut merangkumi bayaran balik pinjaman bagi 40,000 peminjam Hijrah Selangor ditangguh selama 3 bulan.

Seramai 2,500 pelajar dari Selangor yang melanjutkan pelajaran di universiti Sabah dan Sarawak akan menerima bantuan “one-off” sebanyak RM250, manakala program makanan percuma akan diberikan kepada pelajar Selangor di Unisel, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor dan Kolej Antarabangsa Inpens mulai 22 hingga 31 Mac.

Kira-kira 2,700 penyewa di bawah Skim Smart Sewa Selangor dibenar menangguhkan bayaran sewa selama 3 bulan berjumlah RM600,000, manakala RM30,000 diperuntukkan kepada Adun Selangor untuk membantu mereka yang terjejas akibat krisis Covid-19.

Pembayar cukai turut akan menerima lanjutan sebulan untuk bayaran cukai tanah dari 31 Mei kepada 30 Jun ini.