Syarikat dibenar beroperasi perlu sedia surat kebenaran kepada pekerja, kata MITI

MITI berkata, kebenaran beroperasi adalah terhad kepada syarikat dalam sektor pembuatan produk penting yang dibolehkan meneruskan operasi pada kadar minimum. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Syarikat yang dibenarkan beroperasi dalam tempoh perintah kawalan pergerakan perlu menyediakan surat kebenaran kepada pekerja untuk memudahkan pergerakan mereka sekiranya ditahan pihak berkuasa yang membuat rondaan sepanjang tempoh tersebut.

Langkah itu untuk memastikan adanya penguatkuasaan yang lebih ketat ke atas pekerja industri yang diarahkan bertugas, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Mesyuarat khas menteri hari ini mempertanggungjawabkan kementerian itu dengan kebenaran untuk pergerakan pekerja bagi pihak industri yang diluluskan.

Dalam satu kenyataan MITI berkata, ia mengambil langkah proaktif dengan menyatakan kebenaran untuk beroperasi dan bekerja tersebut di dalam surat kelulusan kepada syarikat yang akan beroperasi sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan.

“Kelulusan ini juga terhad kepada syarikat dalam sektor pembuatan produk penting yang mendapat kelulusan untuk meneruskan operasi pada kadar minimum.

“Kebenaran bekerja ini juga terhad kepada jumlah pekerja yang diluluskan kepada syarikat untuk beroperasi dan kebenaran untuk meletakkan mesin kilang dalam keadaan siap siaga,” katanya.

MITI berkata syarikat yang juga pemilik kilang wajib memberi surat kebenaran perjalanan kepada pekerja yang bertugas serta melampirkan bersama surat kebenaran beroperasi yang dikeluarkan oleh kementerian.

“Syarikat juga perlu menyenaraikan nama pekerja yang dikenal pasti untuk membawa surat kebenaran perjalanan tersebut untuk pergerakan mereka dari kediaman ke kilang/premis masing-masing,” katanya.

Bagaimanapun, katanya kelulusan yang diberikan boleh dibatalkan dan ditarik balik sekiranya syarat yang ditetapkan tidak dipatuhi.