Universiti dibenar terus kelas dalam talian

Kementerian Pengajian Tinggi membenarkan universiti tempatan mengadakan kelas dalam talian selepas aktiviti pembelajaran dihentikan berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan pada 18 Mac bagi membendung wabak Covid-19.

PETALING JAYA: Semua institusi pengajian tinggi awam dan swasta akan dibenarkan meneruskan kelas dalam talian, selepas aktiviti pembelajaran digantung berikutan perintah kawalan pergerakan bagi membendung penyebaran wabak Covid-19.

Kementerian Pendidikan Tinggi membenarkan ia diteruskan dengan syarat pensyarah dan kemudahan yang diperlukan disediakan untuk kelas dalam talian, manakala semua pelajar perlu ada akses internet.

“Kementerian berharap tiada pelajar akan ketinggalan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran semata-mata kerana mereka tiada akses internet,” kata kenyataan kementerian itu.

Bagaimanapun sesi pengajaran dan pembelajaran secara langsung tidak dibenarkan.

Semua kelas dalam talian digantung Rabu lalu selepas penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan selama 2 minggu bermula 18 Mac.