2 lagi kematian Covid-19 dilaporkan petang ini

Jumlah kematian akibat Covid-19 dilaporkan kepada Pusat Respons dan Kesiapan Krisis Kementerian Kesihatan setakat ini ialah 8 orang.

PETALING JAYA: Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah petang ini mengesahkan 2 lagi kematian akibat Covid-19.

Dalam satu kenyataan jam 6.30 petang beliau berkata, kes yang dilaporkan kepada Pusat Respons dan Kesiapan Krisis Kementerian Kesihatan menjadikan jumlah kematian kumulatif kerana Covid-19 ialah 8 orang.

Noor Hisham berkata, kes kematian ke-7 melibatkan seorang lelaki rakyat Malaysia berumur 57 tahun yang mempunyai sejarah perjalanan ke Vietnam dan kontak dengan kes positif Covid-19 daripada kluster jemaah tabligh.

“Beliau dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur pada 18 Mac setelah mengalami gejala demam, batuk dan sakit tekak selama seminggu.

“Keadaan kesihatan beliau kemudiannya merosot sehingga memerlukan bantuan pernafasan pada keesokan harinya.

“Beliau disahkan meninggal dunia pada jam 3.22 petang pada 21 Mac,” katanya.

Manakala kes kematian ke-8 pula adalah melibatkan seorang lelaki tempatan berusia 69 tahun juga daripada kluster tabligh.

“Beliau dimasukkan ke Hospital Tumpat pada 16 Mac setelah mengalami gejala demam sejak 12 Mac. Beliau dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu pada 18 Mac.

“Keadaan kesihatannya merosot dan kemudian memerlukan bantuan alat pernafasan pada keesokan harinya. Beliau disahkan meninggal dunia pada 21 Mac pada jam 4.00 petang,” katanya.

Terdahulu hari ini, Sarawak mencatatkan 2 kematian akibat Covid-19.

Kes kematian ke-5 membabitkan seorang wanita berusia 79 tahun dan kes ke-6 melibatkan anak perempuannya berusia 40 tahun. Mereka berasal dari Kuching.

Wanita berusia 79 tahun itu meninggal dunia di sebuah hospital swasta pada jam 2 pagi, sementara anak perempuannya di Hospital Besar Sarawak pada jam 1 petang hari ini.

Seorang lagi anggota keluarga terbabit yang disahkan positif Covid-19 ditempatkan di wad dan diberikan alat bantuan pernafasan di Hospital Besar Sarawak.