3 negara di Asia masih bebas Covid-19, selain 39 negara masih belum dijangkiti

Seorang tentera menggunakan termometer untuk memeriksa suhu mereka yang memasuki metropolis di sebuah pusat pemeriksaan di pinggir kota Quezon, Filipina. (Gambar AP)

Semua sudah sedia maklum wabak Covid-19 kini semakin merebak hampir ke seluruh pelosok dunia.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Covid-19 sudah tersebar ke 140 buah negara termasuk China.

Di saat virus ini membuatkan kebanyakan negara terpaksa mengambil beberapa langkah seperti “lockdown” dan “Perintah Kawalan Pergerakan” namun masih terdapat beberapa buah negara yang menarik nafas lega apabila kes-kes yang disyaki sebagai Covid-19 diuji negatif.

Sehingga 20 Mac, sekurang-kurangnya 11 negara diuji negatif terhadap virus ini.

Seorang anggota polis menjaga trafik di Vientiane, Laos. (Gambar AFP)

1. Laos

Lebih daripada 50 kes suspek Covid-19 telah dilaporkan di Republik Laos.

Namun, kesemua 50 kes terbabit disahkan negatif.

Sampel yang diambil daripada kes-kes yang disyaki diuji sebanyak 3 kali di Pusat Kebangsaan Makmal dan Epidemiologi, Institut Pasteur (Institut Pasteur du Laos) dan Makmal Mikrobiologi di Hospital Mahosot.

Selain itu, sampel-sampel dari kes yang disyaki diuji di makmal Laos itu juga dihantar ke makmal WHO di Australia.

Kerajaan Laos melaksanakan langkah-langkah pengimbasan yang ketat di semua pintu masuk di negara ini dan mengenakan kuarantin selama 14 hari bagi sesiapa yang tiba-tiba mengalami tanda-tanda Covid-19.

2. Myanmar

Kes Covid-19 pertama yang disyaki di Myanmar dilaporkan pada 31 Januari melibatkan seorang pelancong dari China.

Pelancong berkenaan tiba di Yangon dalam penerbangan China Southern Airlines dari Guangzhou.

Daripada baki 78 penumpang penerbangan yang dibawa, hanya 2 orang yang dibenarkan untuk turun dari pesawat manakala 76 yang lain tidak.

Bagaimanapun, Myanmar telah mengumumkan bahawa kes yang disyaki itu negatif untuk Covid-19.

Negara itu sedang melakukan ujian ke atas sekitar 8 kes yang disyaki Covid-19 sehingga 17 Februari, namun tiada kes positif setakat ini.

Pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un, kuarantin 10,000 penduduknya elak sebar Covid-19. (Gambar AP)

3. Republik Korea Utara

Menurut Daily NK, sebuah organisasi berita Korea Selatan, virus Covid-19 membunuh 180 askar Korea Utara pada Januari dan Februari dan menyebabkan 3,700 lagi dikuarantin.

Dan menurut agensi berita Yonhap News yang disokong oleh Korea Selatan, Korea Utara kuarantin hampir 10,000 orang kerana bimbang akan Covid-19 tetapi membenarkan hampir 4,000 pulang kerana tidak mengalami gejala.

Namun, setakat ini negara di bawah pimpinan Kim Jong-un ini masih belum mengesahkan berita ini mahupun melaporkan sebarang kes yang disyaki atau disahkan Covid-19.

4. Tonga

Seorang wanita berusia 21 tahun dilaporkan menjadi kes pertama di Tonga namun selepas diuji keputusannya negatif.

Dia dimasukkan ke Hospital Vaiola di Nuku’Alofa selepas menunjukkan tanda-tanda penyakit berkenaan.

Sampel wanita ini kemudiannya dihantar ke makmal di Australia yang mana ia disahkan negatif.

Sampel itu juga dihantar ke New Zealand untuk pengesahan tambahan.

5. Republik Kepulauan Marshall

Republik Kepulauan Marshall melaporkan satu kes yang disyaki Covid-19 melibatkan seorang lelaki berumur 66 tahun pada 9 Mac 2020 di kota Majuro.

Sampel yang diambil dari individu berkenaan diuji di Lab State Hawaii dan dilaporkan negatif.

Negara itu telah mengenakan larangan perjalanan ke beberapa negara termasuk China, Hong Kong, Macau, Jepun, Korea Selatan, Itali, Jerman dan Iran.

6. Syria

Dua kes disyaki jangkitan Covid-19 diumumkan di Syria dan kemudiannya didapati negatif terhadap virus itu.

Kedua-dua lelaki berkenaan dimasukkan ke hospital selepas jatuh sakit dan mempunyai kontak dengan individu dari Iran.

Ujian mendapati kedua-dua mereka menderita radang paru-paru dan dirawat untuk masalah berkenaan dan salah seorang daripada mereka telah dibenarkan keluar dari hospital.

Kerajaan Syria mengumumkan beberapa langkah berjaga-jaga untuk mengawal penyebaran penyakit ini termasuk penggantungan sementara ke atas kemasukan semua pelancong yang tiba dari kawasan yang terjejas.

Kakitangan perubatan dan sempadan bersama-bersama dengan kru pesawat telah disediakan dengan baju pelindung dan topeng muka untuk melakukan pemeriksaan.

Mereka juga telah dilatih menggunakan termometer mudah alih.

7. Botswana

Sebanyak 5 kes disyaki jangkitan Covid-19 dilaporkan di Bostwana.

Semua daripada kes itu telah diuji negatif terhadap jangkitan seperti yang dilaporkan oleh kerajaan Bostwana pada 5 Februari.

Kes pertama yang disyaki Covid-19 di Botswana telah didaftarkan pada 30 Januari yang diumumkan oleh Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan pada 31 Januari.

Suspek tiba di penerbangan Ethiopia dari China dan diasingkan serta melalui penyiasatan.

8. Kepulauan Solomon

Kepulauan Solomon melaporkan 4 kes disyaki Covid-19 pada 10 Februari di atas kapal kontena MV Expert, yang berlabuh di wilayah Rennell dan Bellona di negara ini.

Sampel yang diambil daripada 4 kes berkenaan dihantar ke Makmal Rujukan Penyakit Berjangkit Victoria (VIDRL) yang berpangkalan di Melbourne, Australia untuk ujian.

Hasil ujian mendapati bahawa kesemua kes berkenaan disahkan negatif.

9. Angola

Kes pertama yang disyaki Covid-19 di Angola dilaporkan pada 29 Januari.

Suspek tersebut adalah warganegara China yang kini di bawah pemerhatian di sebuah klinik di Luanda dan sampelnya telah diuji negatif untuk virus itu.

Angola telah mengeluarkan kuarantin mandatori untuk semua penumpang yang tiba dari China.

10. Republik Palau

Republik Palau mengumumkan keputusan ujian negatif untuk satu kes yang disyaki Covid-19 pada 9 Mac 2020.

Suspek berkenaan dilaporkan merupakan seorang wanita berusia 73 tahun yang tiba dari Amerika Syarikat.

Sampel wanita itu dihantar ke Taiwan untuk ujian Covid-19 dan diumumkan sebagai negatif.

Senarai negara yang masih belum melaporkan sebarang coronavirus yang disyaki atau disahkan:

  1. Belize (397,628 penduduk)
  2. Burundi (11.9 juta penduduk)
  3. Cape Verde (555,987 penduduk)
  4. Comoros (869,601 penduduk)
  5. Dominica (71,986 penduduk)
  6. Eritrea (3.55 juta penduduk)
  7. Grenada (112,523 penduduk)
  8. Guinea-Bissau (1.97 juta penduduk)
  9. Kiribati (119,449 penduduk)
  10. Kyrgystan (6.5 juta penduduk)
  11. Libya (6.9 juta penduduk)
  12. Madagascar (27.7 juta penduduk)
  13. Malawi (19.1 juta penduduk)
  14. Mali (20.3 penduduk)
  15. Mikronesia (115,023 penduduk)
  16. Mozambique (31.2 juta penduduk)
  17. Nauru (10,824 penduduk)
  18. Papua New Guinea (8.95 juta penduduk)
  19. Republik Afrika Tengah (4.67 juta penduduk)
  20. Republik Yaman (29.83 juta penduduk)
  21. Sahara Barat (567,402 penduduk)
  22. Saint Kitts dan Nevis (53,199 penduduk)
  23. Samoa (198,414 penduduk)
  24. Sierra Leone (7.98 juta penduduk)
  25. São Tomé dan Príncipe (204,327 penduduk)
  26. Tajikistan (9.54 juta penduduk)
  27. Timor-Leste (1.32 juta penduduk)
  28. Turkmenistan (6.03 juta penduduk)
  29. Tuvalu (11,792 penduduk)
  30. Uganda (45.7 juta penduduk)
  31. Vanuatu (307,145 penduduk)

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]