ATM bantu tugas kawalan, pemantauan tidak bermakna polis gagal, kata KPN

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata, polis menghargai kepakaran ATM, selain pasukan itu mempunyai kemahiran untuk membuka hospital di lapangan.

PETALING JAYA: Keputusan Putrajaya menggerakkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bermula Ahad ini dalam usaha mengurangkan pergerakan rakyat tidak memberi gambaran bahawa polis gagal melaksanakan tugasnya, kata Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata, polis masih mengetuai misi mengawal pergerakan rakyat dan kehadiran ATM hanyalah untuk membantu polis menjalankan tugas dan memperluas kawasan pemantauan.

“Saya dengan panglima (ATM) sudah berbincang mengenai senario apabila keadaan menjadi gawat. Saya dan panglima begitu terbuka, sekiranya tiba waktu polis memerlukan bantuan ATM, saya yakin ATM sendiri buat persediaan secara senyap-senyap.

“Tidak pernah ATM katakan kepada saya bahawa ATM akan ambil alih, tidak. Sedangkan tawaran ATM hanyalah untuk menambah petugas kekuatan di bawah.

“Polis yang akan jadi ketuanya, tidak timbul tentera akan ambil alih dan kononnnya polis tidak mampu,” katanya dalam satu wawancara disiarkan Astro Awani hari ini.

Jumaat lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob, berkata, kerajaan yakin dengan bantuan tentera tahap pematuhan rakyat terhadap perintah kawalan pergerakan akan lebih tinggi. Ia kerana setakat ini hanya kira-kira 60% rakyat mematuhi perintah kawalan pergerakan yang dikuatkuasakan.

Abdul Hamid berkata, polis menghargai kepakaran yang dimiliki ATM dalam menjaga perbatasan negara memandangkan pasukan itu turut memiliki hospital dan mempunyai kemahiran untuk membuka hospital sendiri di lapangan.

“Petugas di barisan hadapan ini risikonya tinggi, tetapi ATM bermurah hati, ikhlas membantu selepas melihat rakan-rakan dalam uniform biru (polis) bertugas.

“Saya minta masyarakat memahami, saya setuju dan mengalu-alukan kehadiran ATM, bukan sebab polis tidak mampu, tetapi bagi menguatkan lagi kerjasama.

“Sewaktu musim banjir dan ATM turun membantu kenapa masyarakat tidak bising, semasa gencatan senjata, masa itu tidak bising, jadi kenapa masa sekarang ini pula bising,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin merayu rakyat supaya tidak balik kampung atau melepak di luar rumah sepanjang pelaksanaan perintah kawalan pergerakan selama 2 minggu bermula 18 Mac lepas.

Beliau berkata, jika penularan Covid-19 gagal dikawal, kerajaan tiada pilihan kecuali melanjutkan tempoh perintah kawalan pergerakan selepas 31 Mac ini.

Perintah tersebut mengharamkan perhimpunan besar melibatkan kegiatan agama, sukan, sosial dan kebudayaan, manakala sekolah, premis kerajaan dan perniagaan juga ditutup.

Hanya perkhidmatan asas, pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan pasar mini dibenarkan beroperasi, sementara kedai makan dibenarkan beroperasi untuk perkhidmatan penghantaran dan bawa pulang.