CAP gesa ‘kuarantin paksa’ terhadap jemaah pulang dari perhimpunan tabligh Indonesia

CAP berkata jemaah tabligh yang pulang dari Indonesia mungkin menyebabkan penyebaran Covid-19.

PETALING JAYA: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kuarantin secara paksa selama 14 hari terhadap rakyat Malaysia yang pulang dari perhimpunan tabligh di Indonesia.

Ia juga menggesa kerajaan mempertimbangkan untuk menggunakan Pulau Jerejak sebagai pusat kuarantin sementara bagi wilayah utara.

Dalam satu kenyataan hari ini, Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader, berkata kerajaan harus mempertimbangkan untuk mengenakan perintah berkurung sepenuhnya kerana perintah kawalan pergerakan (MCO) tidak berkesan.

Beliau berkata menurut Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob, hanya 60% rakyat mematuhi sekatan 14 hari tersebut dan “peratusan ini tidak impresif dalam keadaan seperti ini”.

Mohideen berkata kenyataan Menteri Luar Negeri Hishammuddin Hussein bahawa rakyat Malaysia yang kembali dari Indonesia akan menjalani pemeriksaan kesihatan yang ketat dan kuarantin diri seperti yang dikehendaki di bawah MCO “tidak begitu meyakinkan”.

“Ini kerana jika 83 peserta dapat memahami dan menghormati keperluan untuk kuarantin diri, mereka tidak akan berkumpul dalam jumlah tersebut sehingga melanggar setiap peraturan untuk mengurangkan risiko penularan.

“CAP akan mencadangkan kuarantin paksa selama 14 hari selepas tiba di lapangan terbang.

“Mereka mungkin menyebarkan penyakit itu tanpa memperlihatkan sebarang gejala selama tempoh ini dan kami bimbang kemungkinan penyebaran di lapangan terbang dan semasa penerbangan itu sendiri.

“Mereka mungkin menyebarkan penyakit itu kepada ahli keluarga jika mereka dikuarantin di rumah,” katanya.

Mengenai cadangan menggunakan Pulau Jerejak sebagai pusat kuarantin sementara bagi wilayah utara, Mohideen berkata ia digunakan sebagai pusat kuarantin kesihatan untuk pendatang asing pada 1875 dan ia boleh dikunjungi hanya menaiki bot selama 5 minit dari Pulau Pinang.

“Ia mempunyai kawasan lapang, terpencil dan kira-kira 6km dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang. Dalam keadaan kecemasan, pengangkutan dari Hospital Pulau Pinang dengan mudah dapat sampai ke jeti Pulau Jerejak, berjarak 11km, menggunakan Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu dalam masa 20 minit. Ia juga boleh diakses melalui laut,” katanya.

Beliau berkata Malaysia tidak mempunyai kelengkapan untuk menangani pandemik Covid-19 atau kecemasan skala besar kerana pada November lalu, hospital awam dan swasta di Malaysia hanya mempunyai katil hospital dengan nisbah jumlah penduduk (BPR) sebanyak 1.98 katil setiap 1,000 penduduk.

“Sasaran purata bagi negara maju adalah 2.5 katil bagi setiap 1,000 penduduk. Secara ringkas, kita tidak cukup katil untuk menampung sejumlah besar kes yang memerlukan kemasukan hospital.

“Ia membimbangkan kerana 1.9 katil bagi setiap 1,000 penduduk Malaysia kekal sama sejak 2012,” katanya.