Jack Ma dan Alibaba Foundation bakal sumbang bekalan perubatan ke Malaysia

Pengerusi Alibaba, Jack Ma bakal sumbang peralatan perubatan demi melawan wabak Covid-19. (Gambar AFP)

Jack Ma Foundation dan Alibaba Foundation mengumumkan akan memberikan sumbangan peralatan perubatan ke Malaysia, Indonesia, Thailand dan Filipina.

Kedua-dua yayasan tersebut telah berhubung dengan keempat-empat negara ini dan menyampaikan cadangan mereka untuk menyumbang bekalan perubatan.

Sumbangan tersebut merupakan 2 juta topeng muka, 150,000 alat penguji, 20,000 sut pelindung dan 20,000 perisai muka untuk diagihkan ke Malaysia, Indonesia, Thailand dan Filipina.

Matlamat yayasan ini adalah untuk membantu memerangi virus Covid-19 di negara yang terlibat dengan memberikan sokongan daripada segi bentuk bantuan peralatan perubatan.

Sementara itu semalam Malaysia terima sumbangan 100,000 keping topeng muka tiga lapis yang dihantar oleh kerajaan China.

Berita baik itu dikongsi Menteri Luar menerusi laman Facebook rasminya.

Sumbangan topeng muka tersebut telah diluluskan oleh Presiden China-Asia Economic Development Association (CAEDA).

Syarikat penerbangan tambang murah, Air Asia akan mengambil bekalan tersebut dari China secara sukarela.

Topeng muka tersebut akan disimpan dan diuruskan oleh syarikat farmaseutikal terbesar Malaysia iaitu Pharmaniaga, dengan persetujuan untuk menempatkan dan menyimpannnya di gudang mereka.

Agihan topeng muka akan dilakukan oleh Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan Malaysia.

Kedutaan China di Kuala Lumpur juga menyumbangkan beberapa peralatan perubatan kepada Hospital Sungai Buloh.

Duta China di Malaysia iaitu Bai Tian telah berjumpa dengan Menteri Luar bagi membincangkan usaha dalam menangani wabak Covid-19 di negara ini.

Menerusi perjumpaan tersebut, Bai Tian bersetuju untuk membantu Malaysia dengan membekalkan peralatan perubatan seperti topeng muka, cecair pembasmi kuman dan peralatan penting yang lain.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]