Kami sedia bantu, hospital swasta beritahu KKM

Hospital swasta berkata mereka tidak boleh menerima pesakit ‘walk-in’ kerana Kementerian Kesihatan merupakan pihak berkuasa peneraju dalam perang terhadap Covid-19.

PETALING JAYA: Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) berkata, ia boleh menerima pesakit Covid-19 untuk rawatan sekiranya Kementerian Kesihatan memerlukan bantuan.

Bercakap kepada FMT, presiden APHM Dr Kuljit Singh berkata, ia akan berasaskan kes demi kes dan hanya jika kes terbabit dirujukkan oleh KKM.

“Kami akan bantu jika mereka perlukan bantuan, tetapi permohonan mestilah dibuat oleh KKM.

“Kami tidak boleh menerima pesakit ‘walk-in’,” katanya dengan menambah bahawa ini kerana KKM adalah pihak berkuasa peneraju dalam perang terhadap Covid-19 di negara ini.

Kuljit berkata, mereka belum membincangkan dengan KKM tentang pihak mana yang akan membayar kos rawatan pesakit Covid-19 di hospital swasta.

“Tetapi kami mempunyai kemampuan untuk membantu apabila diperlukan.”

Beliau berkata, selain pesakit Covid-19, hospital swasta juga bersedia menerima pesakit bukan-Covid-19 bagi mengurangkan beban di hospital kerajaan.

“Tetapi perbincangan awal perlu diadakan antara hospital kerajaan dengan hospital swasta yang menerima pesakit sebelum pemindahan dibuat.”

Katanya, hospital swasta boleh membantu, juga berdasarkan kes demi kes, dari segi kemudahan sekiranya diperlukan oleh hospital kerajaan.

“Pada bila-bila masa dan di mana-mana negeri, pengarah kesihatan negeri hanya perlu menelefon sekiranya mereka mahu meminjam atau menyewa peralatan kami.

“Kita bersedia membantu,” katanya dengan menambah bahawa setakat ini tidak ada pemintaan sedemikian dibuat.

“Kami sentiasa berhubung dengan KKM.”

Jumlah kumulatif kes Covid-19 di Malaysia kini mencecah 1,030 orang, dengan 3 kematian.