Kematian di Itali lebih 4,000, Trump kata tak perlu perintah berkurung

Seorang pesakit Covid-19 di tempatkan di dalam unit biokontinensia di Hospital Columbus di Rom, Itali. (Gambar AP)

NEW YORK: Jumlah kematian akibat Covid-19 di Itali, melonjak melebihi 4,000 orang pada Jumaat ketika New York dan negeri AS yang lain menyertai California dalam arahan perintah berkurung bagi mengawal pandemik tersebut.

Walaupun jangkitan baru dikesan di seluruh dunia, terdapat sedikit harapan di pusat bandar Wuhan China, di mana pandemik itu bermula pada Disember, tanpa sebarang kes baru dilaporkan.

Jumlah kematian di Itali melebihi 600 orang dalam masa sehari, sementara kematian di seluruh dunia melebihi 11,000, dengan jumlah mereka yang dijangkiti mencapai 258,000 orang, menurut AFP.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump memuji keputusan gabenor New York dan California yang mengarahkan penduduk duduk di rumah tetapi berkata beliau tidak fikir perintah berkurung seluruh negara diperlukan.

“Saya tidak fikir (perintah berkurung) diperlukan,” katanya sambil menambah dengan yakin bahawa Amerika Syarikat “memenangi” perang melawan virus itu.

Tidak lama selepas Trump bercakap, Gabenor Illinois mengarahkan penduduk negeri Midwestern tinggal di rumah dan gabenor Connecticut melakukan perkara yang sama.

Perintah tinggal di rumah menjadikan 3 bandar terpadat di Amerika Syarikat – New York, Los Angeles, dan Chicago – berada di bawah perintah berkurung.

Britain, sejajar dengan jiran-jirannya di Kesatuan Eropah, juga mengumumkan sekatan yang lebih sukar, memaklumkan pub, restoran dan teater ditutup dan berjanji untuk membantu membayar gaji pekerja yang terjejas.

Itali melaporkan 627 kematian dan menjadikan jumlah kematian yang dilaporkan kepada 4,032 walaupun kerajaan berusaha membendung virus itu.

Negara itu menyumbang 36.2% daripada kematian akibat Covid-19 di dunia dan kadar kematiannya sebanyak 8.6% dalam kalangan mereka yang disahkan dengan jangkitan itu jauh lebih tinggi berbanding negara lain.

Perancis pada Jumaat melaporkan 78 kematian dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah kematian di negara itu kepada 450 orang.