Kerajaan benar operasi syarikat logistik angkut barang penting

Kebenaran beroperasi dalam tempoh PKP kepada syarikat dalam sektor pembuatan penting dan kritikal, turut terpakai kepada perkhidmatan logistik di bawah syarikat berkenaan.

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan logistik dan pengangkutan bagi syarikat dalam sektor pembuatan penting dan kritikal diberi kebenaran beroperasi sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mohamed Azmin Ali berkata, ini bertujuan memastikan bekalan produk penting dan kritikal yang dikeluarkan oleh kilang dapat sampai kepada pelanggan dan destinasi dalam tempoh dan keadaan yang sempurna.

“Mesyuarat Jawatankuasa Permohonan Pengecualian Industri hari ini memperakukan keputusan bahawa kebenaran beroperasi dalam tempoh PKP yang diberikan kepada syarikat dalam sektor pembuatan penting dan kritikal, turut terpakai kepada perkhidmatan logistik dan pengangkutan di bawah syarikat berkenaan.

“Justeru, perkhidmatan logistik dan pengangkutan yang berkenaan tidak perlu memohon kebenaran berasingan daripada mana-mana agensi kerajaan bagi meneruskan operasi mereka dalam tempoh PKP ini,” katanya dalamkenyataan hari ini.

Beliau berkata, perkhidmatan logistik dan pengangkutan hanya dibenarkan membawa atau mengangkut barang-barang serta produk yang dihasilkan syarikat yang diberi kebenaran oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, dan perlu beroperasi pada kadar tenaga kerja minimum.

Azmin berkata, bagi kilang pembuatan yang dibenarkan beroperasi tetapi menggunakan perkhidmatan syarikat logistik dan pengangkutan swasta/individu, syarikat/individu tersebut perlu memohon kebenaran Jawatankuasa Permohonan Pengecualian Industri untuk diperakukan.

“Diharapkan syarikat perkhidmatan logistik dan pengangkutan yang beroperasi akan mematuhi syarat-syarat ini bagi mengelak sebarang tindakan diambil ke atas mereka dan syarikat yang dibenarkan beroperasi.

“Ini akan dapat memastikan mereka memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan dan masyarakat tanpa sebarang halangan,” katanya.