Lebih 1,000 rakyat Malaysia terkandas di India akan dibawa pulang

Kepulangan rakyat Malaysia terkandas di India akan menggunakan 6 pesawat AirAsia yang disewa khas. (Gambar AP)

PETALING JAYA: Kerajaan akan membawa pulang 1,519 rakyat Malaysia yang terkandas di India dalam masa terdekat susulan wabak Covid-19.

Timbalan Menteri Luar Kamaruddin Jaffar berkata usaha itu hasil perbincangan pelbagai pihak melibatkan Menteri Luar Hishammuddin Hussein, Presiden MIC S A Vigneswaran dan agensi berkuasa lain.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 1,116 individu akan dibawa pulang menggunakan 6 pesawat AirAsia dengan kos keseluruhan berjumlah RM1.05 juta akan ditanggung sepenuhnya oleh MIC.

“Kepulangan mereka bakal menggunakan 6 pesawat AirAsia jenis A320 yang disewa khas. Kesemua 6 pesawat ini akan membawa pulang rakyat Malaysia melalui Chennai dan Tiruchirappalli.

“Saya juga ingin memaklumkan segala kos sewaan penerbangan ini berjumlah RM1.05 juta akan dibiayai sepenuhnya oleh parti MIC,” kata Kamaruddin yang juga pengerusi pasukan petugas khas Covid-19 Kementerian Luar Negeri dalam sidang media hari ini.

Hadir sama dalam sidang media tersebut, Menteri Sumber Manusia, M Saravanan yang juga timbalan presiden MIC.

Kamaruddin berkata, baki jumlah rakyat Malaysia yang terkandas di Chennai dan Mumbai India akan diuruskan Wisma Putra dengan kerjasama Malaysia Airlines.

“Saya juga ingin memaklumkan, Wisma Putra dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan dan Malaysia Airports Berhad sedang giat berusaha menyelaraskan penerbangan Malaysia Airlines (MAS) bagi membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di Chennai dan Mumbai.

“Untuk menjayakan usaha ini, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi sedang berusaha mendapatkan kelulusan mendarat bagi 2 penerbangan MAS daripada kerajaan India.

“Saya bagi pihak Wisma Putra dan Menteri Hishammuddin Hussein, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada MIC, AirAsia dan MAS kerana sudi membantu memudahkan urusan rakyat kita yang berdepan kesulitan di luar negara.

“Saya percaya, kerjasama antara kerajaan dan pihak persendirian (public private partnership) seperti inilah yang perlu dicontohi dan diperbanyakkan, apatah lagi di saat negara menghadapi situasi sukar seperti krisis Covid-19 ini.

“Semua mereka yang dibawa pulang nanti akan menjalani kuarantin selama 14 hari,” katanya.