Malaysia akan bawa masuk 10 juta topeng muka dari China

Topeng muka dari China diutamakan kepada pihak berkuasa di peringkat kebangsaan dan negeri dalam menangani Covid-19.

PETALING JAYA: Putrajaya akan mendapatkan bekalan topeng muka dari China sebanyak 10 juta.

Menteri Kanan Fadillah Yusof berkata, langkah itu dibuat bagi menampung kekurangan bekalan topeng muka di Malaysia bagi tujuan menangani wabak Covid-19.

“Kita sekarang ini kekurangan bekalan topeng muka, sudah diputuskan semalam dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan perdana menteri yang dihadiri semua menteri besar, ketua menteri dan menteri persekutuan dan diputuskan bahawa kita akan cuba mendapatkan bekalan dari China sejumlah 10 juta.

“Ini akan diselaraskan oleh Kementerian Pengangkutan yang akan bekerjasama dengan syarikat penerbangan untuk membawa masuk secara beransur-ansur 10 juta dan akan diuruskan oleh Nadma bila sampai ke Malaysia,” katanya semasa sidang media selepas mesyuarat harian bersama menteri-menteri bagi menangani Covid-19 di Perdana Putra.

Fadillah berkata, topeng muka tersebut akan diutamakan kepada pihak berkepentingan yang berada di bahagian hadapan dalam menangani Covid-19 bagi kegunaan seperti Kementerian Kesihatan, pihak berkuasa, polis, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia di peringkat kebangsaan dan negeri.

“Kalau ada lebih barulah akan diberi kepada pasaran, itu akan diuruskan juga oleh Nadma,” katanya.

Beliau berkata, rakyat tidak perlu bimbang jika tidak mempunyai topeng muka sekiranya tidak terdedah kepada mereka yang tidak sihat.

“Jangan risau, mengikut apa yang diumum WHO dan kementerian kesihatan, orang-orang yang tidak terdedah atau tidak sakit tidak perlu pakai topeng muka. Jadi jangan sebar berita tidak berasas, ikut sahaja panduan yang diberikan Kementerian Kesihatan,” katanya.