Menteri: PBT perlu pasti pasar raya, kedai runcit amal jarak sosial, ambil langkah cegah Covid-19

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin berkata, PBT perlu memastikan pasar raya dan kedai runcit mengamalkan penjarakan sosial, pemakaian topeng, penggunaan pensanitasi serta pembersihan troli dan bakul barangan.

PETALING JAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) memastikan semua pasar raya dan kedai runcit mempraktikkan penjarakan sosial dan mengambil langkah pencegahan lain di premis masing-masing bagi mencegah penularan wabak Covid-19.

“Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) harus memastikan semua supermarket, hypermarket, kedai runcit mempraktikan penjarakan sosial, memakai topeng, ‘sanitizer’ pada laluan masuk keluar dan kerap membersihkan pemegang troli dan bakul barangan,” kata menterinya Zuraida Kamaruddin di Twitter, hari ini.

Dalam pada itu katanya, KPKT juga akan memberikan pengecualian sewa untuk tempoh 1 bulan kepada penghuni rumah PPR di bawah pengurusan kementerian itu yang melibatkan sebanyak 9,187 unit.

Zuraida berkata, keputusan berkenaan dibuat bagi meringankan beban rakyat yang terkesan dengan perintah kawalan pergerakan selama 2 minggu yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Tambahnya, KPKT menerusi PBT juga akan bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi memantau dan memastikan pusat jagaan warga emas swasta mempunyai cukup bahan keperluan sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan.

“Kami akan sentiasa memberi yang terbaik buat semua rakyat Malaysia. Kita berharap semua rakyat Malaysia terus duduk di rumah diam-diam dan jangan keluar,” katanya.

Pada 16 Mac, Muhyiddin menggesa rakyat supaya bertenang dan bersabar selepas beliau mengumumkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bermula 18 hingga 31 Mac 2020, di seluruh negara.

Dalam satu perutusan khas yang disiar secara langsung, beliau berkata perintah kawalan itu dibuat di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Menurutnya, tindakan itu merupakan langkah tunggal yang diambil untuk mengelakkan lebih ramai rakyat negara ini dijangkiti wabak yang boleh meragut nyawa itu.

Beliau juga memberi jaminan bahawa bekalan makanan, keperluan harian dan penjagaan kesihatan, termasuk topeng adalah mencukupi sepanjang tempoh sekatan berjalan.