Misi bawa pulang rakyat Malaysia tertangguh, Itali batal pendaratan pesawat

Putrajaya memutuskan membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di Itali dan Iran menaiki pesawat khas AirAsia.

PETALING JAYA: Usaha membawa pulang 82 rakyat Malaysia yang terkandas di Itali Isnin ini tertangguh, kata Timbalan Menteri Luar Kamaruddin Jaffar.

Beliau yang juga pengerusi pasukan petugas khas Covid-19 Kementerian Luar Negeri memaklumkan perkara itu susulan pihak berkuasa Itali membatalkan kebenaran mendarat semua pesawat ke negara itu termasuk misi pengangkutan dari Malaysia.

“Perancangan awalnya ia akan melibatkan seramai 82 rakyat Malaysia yang berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di Rom. Semua mereka sepatutnya tiba di Kuala Lumpur pada hari Isnin, 23 Mac 2020 jam 6.10 pagi.

“Namun, dukacitanya Wisma Putra dimaklumkan oleh Kedutaan Malaysia di Itali bahawa Italian Civil Aviation Authority (ENAC) membatalkan kebenaran mendarat untuk semua pesawat termasuk pesawat sewaan khas yang sepatutnya membawa pulang rakyat Malaysia dari Itali ini,” katanya semasa sidang media di Wisma Putra hari ini.

Kamaruddin berkata Wisma Putra sedang bertungkus-lumus berunding dengan kerajaan Itali bagi memberi kebenaran khas untuk Malaysia meneruskan urusan repatriasi dari Itali ini secepat mungkin.

Rakyat di Iran dibawa pulang esok

Mengulas nasib rakyat Malaysia yang terkandas di Iran, Kamaruddin berkata semua 46 rakyat Malaysia bersama 9 lagi rakyat dari Indonesia dan Singapura menjadikan jumlah keseluruhan 55 orang, dibenar dibawa pulang dan dijangka tiba di Malaysia 6.10 pagi 22 Mac menaiki pesawat khas AirAsia yang berlepas ke Tehran jam 11.45 pagi tadi.

“Hasil perbincangan menerusi ‘video conference’ antara Menteri Luar Negeri Hishammuddin Hussein dengan Menteri Luar Negeri Indonesia Ibu Retno Marsudi semalam, dan menerusi perbualan telefon dengan Menteri Hal Ehwal Luar Singapura HE Vivian Balakrishnan pada 11 Mac lepas, meraikan semangat kerjasama Asean, Malaysia bersetuju untuk membantu membawa pulang 8 rakyat Singapura serta seorang rakyat Indonesia dari Iran.

“Semua mereka dijangka tiba di Kuala Lumpur pada Ahad, 22 Mac 2020 jam 6.10 pagi menaiki pesawat sewaan khas AirAsia yang berlepas ke Tehran pada jam 11.45 pagi tadi.

“Pesawat tersebut membawa 15 orang krew penerbangan serta 8 orang petugas, Kementerian Kesihatan Malaysia, Wisma Putra dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma),” katanya.

Semua rakyat yang dibawa pulang ke Malaysia akan dikuarantin selama 14 hari di Institut Latihan Awam yang dikenalpasti.

“Proses kuarantin ini penting bagi memantau tahap kesihatan selain memberikan rawatan sewajarnya sekiranya perlu,” katanya.

Beliau berkata, Kementerian Luar Negeri, KKM dan Nadma melaksanakan tugasan mengikut kapasiti masing-masing demi memastikan urusan repatriasi ini berjalan lancar.

Sebelum ini, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata Putrajaya memutuskan membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di Itali dan Iran.

Keputusan tersebut dibuat dengan mengambil kira situasi di kedua-dua negara berkenaan yang terjejas teruk akibat penularan pandemik Covid-19.