Panglima ATM nafi rakaman tular dakwa tentera diberi kuasa pukul orang awam

Panglima ATM Affendi Buang.

PETALING JAYA: Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Affendi Buang sekeras-kerasnya menafikan dakwaan rakaman suara bahawa tentera diberi kuasa memukul orang awam, selain mesej tular yang mendakwa pasukan itu memohon bantuan veteran tentera dalam menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan.

Bahagian Hal Ehwal Awam Markas ATM meminta anggota masyarakat berhenti menyebarkannya mesej atau informasi itu serta-merta kerana ia boleh mengundang pelbagai spekulasi dan mencetuskan suasana panik dalam kalangan rakyat.

“Adalah ditegaskan, mana-mana individu yang didapati menyebarkan berita palsu boleh didakwa di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jumaat lalu, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, Putrajaya memutuskan untuk menggerakkan ATM bermula Ahad ini dalam usaha mengurangkan pergerakan rakyat, namun ia bukanlah satu perintah darurat.

Ismail berkata, Putrajaya yakin dengan bantuan tentera, tahap pematuhan rakyat terhadap perintah kawalan pergerakan akan lebih tinggi.

Markas itu berkata, masyarakat tidak perlu bimbang apabila melihat kehadiran anggota tentera daripada ketiga-tiga cabang perkhidmatan iaitu darat, laut dan udara kerana tugas sekunder anggota tentera ketika aman adalah membantu pihak berkuasa awam dalam memelihara keamanan negara.

“Sebaliknya, orang ramai perlu bekerjasama dalam mematuhi perintah kawalan pergerakan agar usaha membendung penularan Covid-19 dapat dilaksanakan sebaik mungkin,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin merayu rakyat supaya tidak balik kampung atau melepak di luar rumah sepanjang pelaksanaan perintah kawalan pergerakan selama 2 minggu.

Beliau berkata, jika penularan Covid-19 gagal dikawal, kerajaan tiada pilihan kecuali melanjutkan tempoh perintah kawalan pergerakan selepas 31 Mac ini.

Perintah kawalan pergerakan mengharamkan perhimpunan besar kegiatan agama, sukan, sosial dan kebudayaan, manakala sekolah, premis kerajaan dan perniagaan pula ditutup.

Hanya perkhidmatan asas, pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan pasar mini dibenarkan beroperasi, sementara kedai makan dibenarkan beroperasi untuk perkhidmatan penghantaran dan bawa pulang.