Pola kes Covid-19 Malaysia dan Itali serupa, kata kumpulan penyelidik

(Carta Refsa)

PETALING JAYA: Pola kes Covid-19 yang dicatatkan di Malaysia memperlihatkan persamaan dengan tempoh awal krisis kesihatan awam itu di Itali, kata satu badan penyelidik hari ini.

Pusat Penyelidikan untuk Kemajuan Masyarakat (Refsa) berkata dalam satu hantaran di Facebook bahawa walaupun jumlah peningkatan kes baru lebih kecil, namun banyak daripada masih belum dikesan dan disaring.

“Bagi menghindari peningkatan mendadak kes, amalan jarak sosial dan terus berada di rumah sangat penting bagi mendatarkan keluk (jangkitan) sebelum terlambat. Kita mesti mengambil semua langkah bagi menghalang Malaysia mengikuti ‘jalan Itali’,” kata Refsa.

Kerajaan melaksanakan perintah kawalan pergerakan sejak 18 Mac dan meminta orang ramai berada di rumah masing-masing sehingga 31 Mac depan.

Refsa menerbitkan satu carta yang membandingkan jumlah kes Covid-19 yang dicatatkan di negara ini dan juga Itali.

Pada 20 Mac, Malaysia mencatatkan 1,030 kes, iaitu kira-kira seminggu selepas perdana menteri melaporkan “gelombang kedua” pandemik Covid-19.

Ini menyerupai pengalaman Itali, yang mencatatkan angka jangkitan sebanyak 1,694 kes pada 1 Mac, juga kira-kira seminggu selepas melaporkan pertambahan mendadak kes koronavirus pada 23 Feb.

Pada 20 Mac, Itali mencatatkan ledakan 47,000 kes Covid-19 dan mempunyai angka kematian paling tinggi di dunia iaitu lebih 4,000 orang.

Lebih 60 juta orang kini berdepan kemungkinan langkah kawalan lebih ketat, susulan banyak negara mengalami peningkatan kes jangkitan Covid-19.