Polis terima bantuan peralatan perubatan dari China

China menyumbang 1,000 penutup mulut dan hidung, 20,000 ‘medical masks’, 100 pakaian pelindung dan 100 gogal, khusus polis.

KUALA LUMPUR: Malaysia hari ini menerima bantuan lebih 20,000 peralatan perubatan dari China khusus untuk kegunaan anggota polis, kata Menteri Luar Hishammuddin Hussein.

Katanya bantuan itu diterima pihak Kedutaan Malaysia di Beijing menerusi Duta Besar Malaysia di sana Raja Nushirwan Zainal Abidin dan wakil polis, Chern Lea Keong.

“Lagi bantuan peralatan perubatan! Terima kasih sekali lagi kepada China yang menyumbang 1,000 penutup mulut dan hidung, 20,000 ‘medical masks’, 100 pakaian pelindung dan 100 gogal, kali ini khusus untuk anggota Polis Diraja Malaysia PDRM pula.

“Malaysia dan China – air dicincang tidak akan putus!,” katanya menerusi catatan di laman Facebooknya malam tadi.

Hishammuddin pada Isnin lepas menerima kunjungan Duta Besar China ke Malaysia Bai Tian di Wisma Putra, Putrajaya, membincangkan mengenai hubungan Malaysia-China yang perlu diperkukuh demi manfaat dalam pelbagai sektor serta tumpuan terhadap usaha menangani penularan Covid-19.

Kerajaan menguatkuasakan beberapa langkah dalam usaha mengekang Covid-19 daripada terus merebak di negara ini termasuk Perintah Kawalan Pergerakan (MCO) bermula dari 18 sehingga 31 Mac ini yang melibatkan peranan polis memastikan kelancaran perintah berkenaan.

Hari ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan turut akan menggerakkan ATM bermula Ahad ini bagi membantu PDRM menguatkuasakan perintah itu.