Semua pintu sempadan Sarawak ditutup kecuali di Brunei, Kalimantan

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg (tengah) ketika sidang media, hari ini.

KUCHING: Pintu sempadan di Sarawak akan ditutup serta-merta bagi mengelak penyebaran Covid-19, kata Ketua Menterinya Abang Johari Openg hari ini.

Beliau berkata hanya Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) antara Sarawak dan Brunei iaitu Sungai Tujuh, Tedungan, Pandaruan dan Mengkalap dibuka dari jam 6 pagi hingga 8 malam.

Manakala CIQ antara Sarawak dan Kalimantan iaitu Tebedu, Biawak dan Lubok Antu dibuka antara jam 9 pagi dan 3 petang.

“Ini sejajar dengan waktu pembukaan yang dipersetujui dengan Brunei dan Indonesia.

“Kerajaan mendapatkan bantuan tentera dengan segera untuk menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan (MCO) di pintu sempadan dan kawasan luar bandar,” katanya pada sidang akhbar, hari ini.

Abang Johari berkata kawasan panas Covid-19 di Sarawak ialah Kuching, Serian, Betong, Sarikei, Bintulu, Miri dan Limbang.

Sehingga hari ini, Sarawak mencatatkan 714 persons under investigation (PUI) dengan 58 daripada mereka diuji positif virus itu. Hanya 1 kematian akibat virus itu dilaporkan di negeri terbabit.

“Teruk dan seriusnya masalah Covid-19 tidak boleh dipandang remeh,” kata Abang Johari.

Oleh itu, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan hospital swasta di negeri itu berkaitan pemeriksaan dan ujian terhadap jangkitan Covid-19.

Setakat ini, beliau berkata perbincangan telah diadakan dengan Borneo Medical Centre, Pusat Perubatan Timberland, KPJ dan Normah Medical Specialist Centre.

Mengenai topeng muka, Abang Johari berkata kerajaan negeri sedang mengimportnya dari China untuk memastikan stok yang mencukupi di negeri itu.

Beliau berkata pakej bantuan ekonomi Sarawak bagi memerangi kesan wabak Covid-19 dan bantuan untuk perniagaan kecil akan diumumkan pada Isnin.

Beliau menggesa orang ramai supaya tidak menyebarkan berita yang tidak sahih atau palsu berhubung Covid-19 kerana mereka akan berdepan penalti yang tegas.

Mereka yang menyebarkan berita yang tidak sahih atau palsu mengenai Covid-19 boleh didenda sehingga RM50,000 atau dipenjara sehingga 2 tahun, atau kedua-duanya, di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.