TLDM kuarantin anggota, keluarga disyaki dijangkiti Covid-19

Menurut TLDM, sebelum warga KD Mahawangsa dikuarantin, warga sebuah lagi kapal miliknya turut dikuarantin selepas mengiringi kapal Petronas dari Korea Selatan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hari ini mengesahkan seorang anggotanya dari KD Mahawangsa disyaki menghidap Covid-19 selepas isteri beliau berhubung rapat dengan rakan sekerja yang turut disyaki menghidap wabak sama.

Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat Lumut TLDM berkata, pada ketika ini seluruh anggota keluarga anggota berkenaan diklasifikasikan sebagai Person Under Investigation (PUI) dan sedang menjalani kuarantin seperti digariskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“TLDM turut mengambil langkah berjaga-jaga dengan melaksanakan kuarantin ke atas warga KD Mahawangsa setelah maklumat tentang tanda-tanda atau jangkitan Covid-19 diterima.

“Tindakan sama dilaksanakan sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP) diisytiharkan dan prosedur ini dilaksanakan ke atas KD Lekiu yang tamat penugasan mengiringi kapal Petronas Floating Liquified Natural Gas 2 (PFLNG 2) dari Korea Selatan pada 4 Mac lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut TLDM lagi, sehingga kini masih tidak ada anggotanya disahkan positif Covid-19 dan masyarakat dinasihatkan tidak menyebarkan maklumat tidak sahih, selain mematuhi peraturan dan PKP dikeluarkan kerajaan.

“TLDM masih melaksanakan tugas dan tanggungjawab seperti biasa serta tidak terjejas dengan penularan Covid-19.

“Sebarang keputusan rasmi atau berkaitan dengan anggota yang dijangkiti hanya akan dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM,” katanya.