UiTM sah seorang lagi pelajarnya positif Covid-19

Setakat hari ini 3 pelajar UiTM disahkan menerima rawatan berikutan jangkitan Covid-19

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) hari ini disahkan positif Covid-19, menjadikan jumlah pelajar universiti tersebut yang sedang menerima rawatan akibat penularan wabak itu 3 orang.

Naib Canselor UITM Dr Mohd Azraai Kassim berkata, pelajar itu, yang kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur, dijangkiti melalui ayahnya yang disahkan positif Covid-19.

Beliau berkata, bapa pelajar itu mendapat jangkitan daripada kontak rapat iaitu saudaranya yang menyertai perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling di sini.

Katanya, pelajar terbabit menghadiri kuliah pada 15 Mac lepas dan apabila disahkan positif Covid-19 beliau memaklumkan keadaan dirinya yang dijangkiti kepada pensyarah.

“Sehubungan itu, pihak UiTM melalui Pusat Gerakan Covid-19 dan Pusat Kesihatan UiTM memaklumkan keadaan pelajar tersebut kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan telah mengambil tindakan sewajarnya kepada mereka yang terlibat,” menurutnya dalam kenyataan malam ini.

Mohd Azraai berkata, kontak rapat pelajar itu dikenal pasti oleh pihak UiTM dan mereka menjalani saringan Covid-19 di Pusat Kesihatan Daerah Kepong.

Selain itu, pihak UiTM melakukan kerja-kerja pembersihan dan pembasmian kuman di kelas serta kawasan berkaitan sebagai langkah keselamatan bagi mengelak virus tersebut tersebar.

“Semua pelajar dan staf tidak perlu bimbang terhadap keselamatan mereka kerana UiTM telah mengambil langkah pencegahan penyakit berjangkit dan kawalan jangkitan yang sepatutnya.

“Mereka juga telah disarankan untuk mengikuti arahan dan nasihat pihak pengurusan UiTM dan KKM dari semasa ke semasa,” katanya.