Dr Mahathir sah negatif Covid-19

Dr Mahathir sebelum ini berkurung selama 14 hari di rumah selepas mengambil gambar dengan individu yang kemudiannya disahkan positif Covid-19.

PETALING JAYA: Dr Mahathir Mohamad disahkan negatif Covid-19, kata pembantu bekas perdana menteri itu.

“Beliau disahkan negatif,” katanya kepada FMT.

Dilaporkan sebelum ini Mahathir berkurung selama 14 hari di rumahnya selepas mengambil gambar dengan seorang individu yang kemudiannya disahkan positif Covid-19.

Dalam temu bual di TV3, Mahathir berkata, beliau mematuhi keperluan kuarantin dan telah menjalani saringan virus itu.

Seorang doktor perubatan, Mahathir berkata, orang ramai harus berada di rumah masing-masing, bukannya balik ke kampung dalam tempoh perintah kawalan pergerakan sehingga 31 Mac depan.

Setakat hari ini, 1,306 individu disahkan positif Covid-19, dengan 10 kematian dicatatkan di seluruh negara.