Kes jenayah di PJ turun mendadak, kata polis

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, kejadian jenayah menurun antara 40-50% susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan 18 Mac lepas.

PETALING JAYA: Kes jenayah di sekitar Petaling Jaya mengalami penurunan mendadak susulan keputusan Putrajaya melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP), kata Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Nik Ezanee Mohd Faisal.

Nik Ezanee berkata, beliau menganggarkan penurunan kes jenayah pada hari ke-5 PKP adalah di antara 40 hingga 50% berbanding sebelum perintah berkenaan dikuatkuasakan.

“Penyamun memang hendak ambil kesempatan. Bagi mengekang kegiatan jenayah, kita ada tangkap 2 orang pada hari ini, hasil kegiatan pecah rumah pada Jumaat lepas dan kita juga sudah selesaikan beberapa kes di kawasan Petaling Jaya.

“Dalam kita laksanakan Ops Covid-19, kita juga tidak lupa dengan tugasan sebenar, iaitu mengekang jenayah di sekitar Petaling Jaya. Kes jenayah menurun dengan mendadak, namun kita tidak akan pandang remeh,” katanya dalam sidang media di Taman Dato Harun di sini, hari ini.

Mengulas mengenai penerimaan masyarakat selepas hari ke-5 PKP, Nik Ezanee berkata, rakyat sudah mula memahami keadaan, berbeza sewaktu hari pertama perintah dikuatkuasakan.

“Kita dapat bantuan dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi membantu atasi ancaman wabak Covid-19. Mereka akan mulakan dengan bantu sekatan di jalan raya buat masa ini dan penugasan lain selepas dimaklumkan kelak.

“Saya difahamkan pihak ATM ada membawa senjata, tetapi tidak akan digunakan semasa operasi sekatan jalan raya dilaksanakan. Operasi kita pada ketika ini adalah didik dan nasihat orang awam mengenai bahaya Covid-19,” katanya.

Nik Ezanee berkata, pihaknya ada menerima maklumat jemaah tabligh yang terlibat dalam ijtimak di Masjid Seri Petaling sebelum ini dan memberitahu sudah bersedia membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengesan mereka.

“Saya tidak boleh beritahu jumlahnya (jemaah tabligh di seluruh Petaling Jaya), tetapi kita sudah dimaklumkan. Kita tunggu KKM dalam mendekati jemaah ini,” katanya.