KKM umum peruntukan RM200 juta hadapi gelombang ke-2 Covid-19

KKM mengumumkan elaun khas RM400 sebulan kepada petugas kesihatan yang berada di barisan hadapan menangani wabak Covid-19.

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan peruntukan RM200 juta bagi menghadapi gelombang ke-2 Covid-19.

Menterinya Dr Adham Baba mengumumkan perkara itu sambil memaklumkan kos itu akan digunakan untuk pembelian ubat-ubatan serta keperluan dalam usaha mendepani wabak Covid-19.

“Setakat ini KKM membelanjakan sebanyak RM160 juta peruntukan bagi gelombang fasa pertama, kita akan peruntukan lagi kira-kira RM200 juta untuk gelombang ke-2 bagi membeli ubat ubatan, reagen, peralatan PPE yang diperlukan oleh barisan hadapan,” katanya menerusi perutusan khasnya hari ini.

Beliau turut mengumumkan elaun khas sebanyak RM400 sebulan diberikan kepada petugas kesihatan yang berada di barisan hadapan bagi menangani wabak Covid-19.

“Sebagai penghargaan elauan khas sebanyak RM400 sebulan kepada petugas kesihatan yang berada di barisan hadapan membabitkan doktor dan kakitangan kesihatan,” katanya sambil memaklumkan sebanyak 26 hospital diwartakan untuk persediaan gelombang ke-2 Covid-19.

Beliau turut berkata keputusan kerajaan menggunakan Angkatan Tentera Malaydia (ATM) dalam membantu pihak polis dan Kementerian Kesihatan Malaysia dalam melaksanakan kawalan pergerakan adalah untuk melindungi 32 juta rakyat Malaysia.