Menarik… Akad nikah di sebalik pagar rumah tanpa bersalam dengan tok kadi

Pasangan pengantin ini cipta sejarah mereka tersendiri dengan melangsungkan akad nikah di luar pagar rumah tok kadi.

Sudah menjadi kebiasaannya setiap kali tiba musim cuti sekolah pasti akan ada majlis perkahwinan.

Namun bagi tahun ini pastinya ia tidak menjadi seperti yang dirancang apabila seluruh dunia berdepan dengan pandemik Covid-19.

Demi menghalang virus ini daripada terus merebak kerajaan telah mengambil langkah pro aktif dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan yang memerlukan semua rakyat Malaysia untuk berada dalam rumah dan elak berkumpul secara ramai-ramai bermula 18 Mac sehingga 31 Mac ini.

Sudah tentu ia satu berita yang pasti menggusarkan mana-mana pasangan yang sudah merancang beberapa bulan yang lalu untuk melangsungkan perkahwinan pada musim cuti sekolah kali ini.

Namun ada juga pasangan yang tetap mahu meneruskan perkahwinannya tanpa majlis kenduri kendara sekadar dengan akad nikah sahaja.

Menerusi Twitter @mohdkautharr, satu video akad nikah dijalankan secara berjauhan tanpa menyentuh juru nikah dan tak melibatkan ramai orang viral di kalangan netizen.

Kelakarnya tok kadi seboleh-bolehnya mahu selesaikan semua urusan dengan kadar segera apabila akad nikah itu berlangsung hanya di pagar rumah.

Malah kelihatan semua ahli keluarga yang hadir bersama-sama dengan pengantin perempuan berada dengan jarak 1m di antara satu sama lain.

Inilah baru dikatakan kena dengan syarat iaitu mengikut rukun sahaja.

Yang penting semua rukun sempurna, ada saksi dan terus sah.

Tindakan tok kadi ini juga wajar dipuji apabila memang mengikut arahan iaitu mengamalkan kerja dari rumah.

Bagi pasangan pengantin ini sudah pasti ia bakal menjadi sejarah dalam hidup mereka untuk diceritakan kepada anak cucu kelak.

Hebatnya pasangan ini dinikahkan tanpa bersalam dengan tok kadi dan ia berlaku di sebalik pagar rumah.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]