Pakar saran selaras semula Belanjawan 2020, susulan harga minyak jatuh, Covid-19

Kerajaan dicadang selaras semula Belanjawan 2020 susulan kejatuhan harga minyak dunia dan penularan wabak Covid-19.

PETALING JAYA: Seorang pakar ekonomi mencadangkan kerajaan baru menyelaras semula Belanjawan 2020 yang diumumkan pimpinan terdahulu susulan kejatuhan harga minyak dunia dan penularan wabak Covid-19.

Barjoyai Bardai dari Universiti Tun Razak berkata peruntukan yang diumum kepada beberapa sektor perlu ditangguhkan dan mengutamakan kepada perkara yang perlu diutamakan susulan situasi semasa, terutama dalam mendepani wabak tersebut.

“Penurunan harga minyak sebanyak 30 dolar mungkin kerajaan hilang RM30 bilion, itu belum lagi mengambil kira kemungkinan besar hasil pendapatan cukai berkurangan kerana operasi perniagaan tergendala disebabkan Covid-19.

“Kerajaan perlu melihat bagaimana nak kurangkan perbelanjaan kerana untuk menambah pendapatan agak susah pada waktu ini. Kita juga terpaksa ubah matlamat kadar defisit 3.4%, kita bolehlah terlebih sedikit defisit berbanding unjuran asal.

Barjoyai Bardai

“Jadi kita perlu lihat secara umum kepada pengurangan belanjawan modal khususnya berkaitan dengan belanjawan membina infrastruktur.

“Kita juga perlu mengurangkan perbelanjaraan operasi, cuma perbelanjaan operasi kita juga berat nak dikurangkan, tapi kita boleh cuba mengurangkan belian-belian stok, perbelanjaan berkaitan sewaan, perkara berkaitan perkhidmatan, kemungkinan mengurangkan kebergantungan kepada kakitangan sementara dan sambilan,” katanya.

Kegawatan ekonomi bukan masalah baru

Barjoyai berkata krisis ekonomi yang berlaku bukan perkara baru dan ia rentetan dari 2014.

“Apabila ekonomi mencapai tahap kemuncak dan menurun, ini sebenarnya pusingan biasa dalam ekonomi di mana 5 tahun naik dan 5 tahun turun, kita telah bersedia secara langsung atau tidak langsung menghadapinya.

“Cuma kesan kali ini agak besar dan dijangka lebih besar dari kegawatan ekonomi 1997 kerana kali ini bukan sahaja ke atas pasaran saham, tapi ia dikuatkan kesannya oleh penurunan harga minyak sangat besar dan kemudian penurunan penggunaan pelanggan dan pengeluaran disebabkan kesan penutupan ekonomi di China akibat Covid-19,” katanya.

Barjoyai berkata dalam usaha memulihkan kembali ekonomi negara ia bergantung kepada situasi semasa, termasuk menunggu penularan Covid-19 berakhir.

“Kita perlu tunggu dan lihat dan kita biarkan dulu kesan (ekonomi) ini sampai ke tahap paling rendah, jadi kita akan nampak nanti, misalnya Covid-19 menunjukkan penurunan, sebab sekarang kita tak tahu lagi, gelombang kedua ini risikonya masih ada kumpulan orang sepatutnya akan membawa wabak tapi belum dikesan itu menjadi masalah.

“Selepas ini berlaku dan keadaan lebih tenang dan agak menurun masa itu baru kita lihat kesan kepada ekonomi dan dijangka kadar ekonomi menurun, pertumbuhan menurun mungkin negatif dan selepas itu kita rancang program (pulihkan ekonomi) secara besar-besaran dan ia akan melonjak kembali,” katanya.

Oktober tahun lalu, kerajaan mengumumkan Belanjawan 2020 yang menyediakan peruntukan sebanyak RM297 bilion.