Pemandu teksi dakwa hilang 100% pendapatan akibat perintah kawalan pergerakan
Pemandu teksi merayu mereka dikecualikan bayaran sewaan harian RM50 kepada syarikat ketika tempoh MCO berjalan.
PETALING JAYA: Pemandu teksi mendakwa industri itu terjejas teruk sehingga hilang 100% pendapatan akibat wabak Covid-19, terutama perintah kawalan pergerakan (MCO) yang diumum kerajaan.
Yang Dipertua, Gabungan Pertubuhan Teksi, Kereta Sewa, Limosin dan Teksi Lapangan Terbang Semalaysia (GTSM), Kamarudin Mohd Hussain merayu kerajaan memberi bantuan susulan masalah yang dihadapi mereka.
Kumpulan itu juga merayu, pemandu teksi dikecualikan bayaran sewaan harian RM50 kepada syarikat ketika tempoh MCO berjalan.
“Perintah kawalan pergerakan yang bermula 18 Mac yang lalu bukan sahaja merencatkan ekonomi negara, malah turut memberi kesan yang sangat buruk kepada pendapatan kami.
“Kami bukan sahaja kehilangan pendapatan 100%, malah dalam ketiadaan penumpang kami masih diwajibkan menjelaskan sewaan harian sekurang-kurangnya RM50 kepada syarikat teksi.
“Sehubungan dengan itu, kami merayu kepada kerajaan agar membantu kami, dan kami berharap pihak syarikat dapat mempertimbangkan keadaan kami dan memberi pelepasan khas kepada kami,” katanya dalam satu kenyataan.
Kamarudin berkata, pihaknya juga kesal dengan Perkeso apabila tidak mendapat sebarang pembelaan ketika waktu sukar sedangkan mereka diwajibkan mencarum.
“Kononnya demi memberi perlindungan keselamatan sosial kepada kami, dan jika kami gagal melakukan caruman kami boleh dikenakan tindakan penjara selama 2 tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
“Malangnya ahli kami bukan sahaja sering menghadapi kesukaran dalam membuat sesuatu tuntutan, malah jawapan Perkeso berhubung isu Covid 19 kepada kami benar-benar mengecewakan.
“Kami dimaklumkan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) yang diperkenalkan kepada kami bukan sahaja tidak mempunyai skim keilatan, malah tidak mempunyai Program Pengekalan Pekerjaan (ERP), sekaligus tidak melayakkan kami yang mencarum di Perkeso mendapatkan bantuan RM600 yang diumumkan oleh Perkeso baru-baru ini.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram
“Kami berharap kerajaan dapat melihat perkara ini dan memberi perhatian khusus serta meneliti semula pelan yang diperkenalkan Perkeso kepada kami,” katanya.