132 pelajar tahfiz Masjid Sri Petaling dipindah ke stesen kuarantin

132 pelajar tahfiz Masjid Sri Petaling dipindahkan ke stesen kuarantin di Institut Sosial Malaysia di Sungai Besi hari ini. (Gambar Facebook)

KUALA LUMPUR: Seramai 132 pelajar tahfiz di Masjid Sri Petaling di sini, dipindahkan ke stesen kuarantin di Institut Sosial Malaysia (ISM) hari ini.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerusi satu kenyataan memaklumkan kesemua pelajar menjalani proses nyah cemar yang dilaksanakan oleh pasukan khas bahan kimia berbahaya (Hazmat) JBPM KL sebelum dipindahkan.

“Kesemua pelajar tahfiz dibawa ke stesen kuarantin menggunakan 4 buah bas dengan bantuan polis pengiring,” menurut kenyataan itu.

Menurutnya proses pemindahan kesemua pelajar selesai pada kira-kira pukul 2.30 petang dan proses nyah cemar turut dilakukan ke atas 4 buah bas yang digunakan untuk proses pemindahan.

Masjid Sri Petaling yang menjadi venue himpunan jemaah tabligh dari 28 Feb hingga 1 Mac dan kini menjadi kluster terbesar jangkitan Covid-19 di negara ini.