20 kes Covid-19 pulih, 212 jangkitan baru

PUTRAJAYA: Terdapat 20 kes pulih sepenuhnya daripada Covid-19 dan dibenarkan keluar wad hari ini, diikuti dengan 212 jangkitan baru setakat 12 tengah hari tadi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya dan dibenarkan keluar wad 159 kes, sementara jumlah kes positif Covid-19 pula 1,518 kes.

Sehingga kini, 57 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi, di mana 27 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Dukacita dimaklumkan sehingga kini, terdapat 4 kes kematian baru berkaitan Covid-19 dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan,” katanya pada sidang media perkembangan wabak koronavirus itu hari ini.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 sebanyak 14 kes,” tambahnya.

Mengenai 212 kes baru yang dilaporkan hari ini, Hisham memaklumkan siasatan awal mendapati sebanyak 123 kes berkaitan kluster perhimpunan talibh di Masjid Jamek Seri Petaling.

Mengenai 4 kes kematian baru pula, Hisham berkata 2 daripadanya warga emas.

Warga emas pertama, seorang rakyat tempatan berusia 70 tahun, adalah kes jangkitan ke-1070 dan kes kematian ke-11, mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dan dirawat di Hospital Canselor Tuanku Muhriz.

Dia disahkan meninggal dunia pada 22 Mac 2020, katanya.

Warga emas kedua, juga rakyat tempatan berusia 70 tahun, adalah kes jangkitan ke-1114 dan kes kematian ke-12, merupakan ahli jemaah tabligh yang menghadiri perhimpunan di Masjid Jamek Seri Petaling dan dirawat di Hospital Kluang.

Dia disahkan meninggal dunia pada hari ini, katanya.

Mangsa ahli jemaah tabligh ke-2 yang meninggal dunia kerana Covid-19.

Mangsa seterusnya, seorang rakyat tempatan berusia 49 tahun, adalah kes jangkitan ke-1006 dan kes kematian ke-13, merupakan anak kepada kes jangkitan ke-1031 dan dirawat di Hospital Umum Sarawak.

Mangsa terakhir hari ini, seorang rakyat tempatan berusia 51 tahun, merupakan kes jangkitan ke-595 dan kes kematian ke-14, merupakan kontak rapat kes positif Covid-19 daripada kluster tabligh dan dirawat di Hospital Miri.

Kedua-duanya disahkan meninggal dunia hari ini.

Sementara itu, Hisham melaporkan Kementerian Kesihatan berjaya memperolehi stok bekalan Personal Protective Equipment (PPE) untuk kegunaan anggota kesihatan sebanyak 33 juta unit yang dapat menampung penggunaan di semua fasiliti kesihatan.

Ia akan diedarkan minggu ini.

Selain itu, kerajaan juga menerima sumbangan bekalan PPE daripada pelbagai pihak dan sejumlah 3 juta unit PPE sedang diagihkan ke fasiliti kesihatan mengikut keperluan.

Perkembangan ini ketika isu kekurangan bekalan PPI kini merupakan “satu isu global”, katanya.