Perbicaraan rasuah Isa Samad, Ku Nan ditunda April

Bekas pengerusi Felda, Isa Samad (kiri) dan bekas menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor.

KUALA LUMPUR: Perbicaraan rasuah bekas pengerusi Felda, Isa Samad dan bekas menteri, Tengku Adnan Tengku Mansor, yang ditetapkan minggu ini akan ditunda ke bulan depan susulan penularan Covid-19.

Peguam Salehudin Saidin yang mewakili Isa, berkata pegawai mahkamah memaklumkan beliau penghujahan lisan ditetapkan pada 8 Apr.

“Seperti diarahkan, kami memfailkan penghujahan bertulis kami pada 28 Feb. Jika tiada keadaan tidak diduga, penghujahan lisan akan diadakan 8 Apr.”

Penghujahan lisan di depan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada mulanya dijadualkan hari ini.

Pihak pendakwaan menutup kes mereka pada 14 Jan lalu selepas memanggil 15 saksi.

Isa, 71, berdepan satu pertuduhan pecah amanah dan 9 dakwaan menerima rasuah lebih RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites di Kuching, Sarawak oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC).

Sementara itu, perbicaraan rasuah RM2 juta Tengku Adnan di peringkat pembelaan ditetapkan pada 1 Apr ini.

“Bagaimanapun, mahkamah memaklumkan pihak terbabit mereka boleh membuat permohonan untuk penangguhan jika perlu,” kata Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim.

Kes Tengku Adnan didengar di depan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan.

Ahli Parlimen Putrajaya itu didakwa menerima rasuah RM1 juta daripada ahli perniagaan Chai Kin Kong, yang juga pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd, walaupun tahu syarikat Chai mempunyai urusan dengan Kementerian Wilayah Persekutuan di bawah pimpinannya ketika itu.

Tengku Adnan turut berdepan satu lagi pertuduhan rasuah berjumlah RM1 juta, tetapi perbicaraan kes itu sudah ditangguhkan.

Tengku Adnan didakwa menerima rasuah itu daripada ahli perniagaan Tan Eng Boon untuk meluluskan permohonan Nucleus Properties Sdn Bhd (kini dikenali sebagai Paragon City Development Sdn Bhd) untuk menambah nisbah lot industri sebidang tanah di Kuala Lumpur.

Julia berkata, pihak pendakwaan sudah memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan susulan keputusan Mahkamah Rayuan yang Nazlan perlu menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes itu.