Sarawak umum pakej RM1.5 bilion kurang kesan Covid-19

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg (2 dari kiri) dan pemimpin negeri pada majlis pemakluman pakej bantuan khas bernilai RM1.5 bilion di Wisma Bapa di Kuching hari ini.

KUCHING: Sarawak mengumumkan pakej bantuan khas berjumlah RM1.15 bilion bagi mengurangkan impak pandemik Covid-19 ke atas ekonomi dan meringankan beban rakyat.

Ketua Menteri, Abang Johari Openg berkata, pakej “Sarawakku Sayang” melibatkan perbelanjaan langsung kerajaan negeri sebanyak RM974.75 juta, termasuk penangguhan pembayaran balik pinjaman, pengecualian pembayaran dan diskaun ke atas perkhidmatan asas kerajaan sebanyak RM179.79 juta untuk tahun ini .

Bercakap pada satu sidang media, Abang Johari berkata, pakej tersebut adalah model yang “seimbang untuk rakyat dan memberi tumpuan kepada perniagaan” bagi membantu negeri itu menghadapi kelembapan ekonomi berikutan pandemic yang berlaku.

Pakej bantuan khas itu, katanya, tidak termasuk langkah berterusan yang sedia dilaksanakan bagi memastikan Sarawak mencapai status negeri maju menjelang 2030.

Pakej “Sarawakku Sayang” termasuklah beberapa langkah proaktif yang menyasarkan petugas barisan hadapan, isi rumah dan komuniti perniagaan, yang menurut Abang Johari sangat memerlukan bantuan.

Antara yang terlibat ialah:

  • Pengguna domestik, komersial dan perindustrian akan diberi diskaun 5% hingga 25% bagi bil elektrik bulanan dan diskaun 10% hingga 25% bagi bil air bermula April hingga September.
  • 430,000 rakyat Sarawak daripada golongan B40 diberi bantuan tunai bulanan RM250 untuk tempoh 6 bulan akan datang.
  • 50% potongan untuk sewa gerai untuk tempoh 6 bulan.
  • RM8.24 juta pengecualian yuran permit dan lesen kepada peniaga, penjaja, peniaga pasar malam, pasar minggu dan pengendali bazar Ramadan.
  • 25% potongan kadar taksiran melebihi nilai ambang RM400 ke atas bangunan kediaman, komersial, perindustrian dan pegangan tujuan khas untuk tahun ini.
  • Penangguhan bayaran balik pinjaman untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) selama 9 bulan bermula April.
  • Tambahan RM20 juta skim kredit mikron untuk semua PKS mengembangkan dan mengekalkan perniagaan mereka.
  • 30% potongan ke atas sewa tanah, yang dijangka memberi manfaat kepada 52,403 perladangan komersial, perindustrian, kediaman, ladang berskala besar dan kemudahan awam yang lain.
  • Penangguhan sekali ke atas premium tanah untuk 2020, yang memberi manfaat kepada 1,721 pihak berkepentingan di seluruh Sarawak, termasuk unit pertanian, kediaman, komersial dan perindustrian serta institusi swasta dan awam.
  • Pengecualian sekali bayaran fi hotel membabitkan 17,289 bilik hotel di seluruh negeri tahun ini, yang memberi manfaat kepada lebih 340 hotel dan rumah penginapan.
  • Diskaun 50% sewa ke atas perumahan Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) untuk tempoh 6 bulan.

Abang Johari turut mengumumkan insentif 6 bulan untuk pasukan barisan hadapan yang berusaha mengekang penularan Covid-19.

Beliau berkata, bayaran RM300 akan diberi kepada doktor, jururawat dan kakitangan perubatan.

Bayaran RM200 juga diberi kepada:

  • 535 pegawai imigresen.
  • 3,395 anggota polis dan kakitangan bilik operasi negeri.
  • 590 anggota tentera yang berkawal di sempadan dan mereka yang membantu polis menjaga undang-undang dan ketenteraman.
  • 590 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang membantu memastikan keselamatan kawasan perumahan.

Beliau juga berkata, kerajaan negeri akan turut menyediakan sokongan untuk doktor dan kakitangan perubatan yang menjalankan ujian, diagnosis, dan merawat pesakit Covid-19.

“Kos ini termasuk menyediakan peralatan perlindungan peribadi (PPE) dan bekalan lain. Kerajaan Sarawak menyediakan peruntukan sebanyak RM10 juta.”

Peruntukan RM1 juta lagi katanya, akan dibelanjakan untuk membekalkan makanan kepada doktor dan kakitangan perubatan.

Abang Johari juga berkata, Sarawak menerusi jawatankuasa pengurusan bencana negeri, menyediakan topeng percuma kepada rakyat negeri itu, terutama yang tinggal di lokasi panas Covid-19 seperti Kuching, Serian, Betong, Sarikei, Bintulu, Miri dan Limbang.

“Kita menempah 2 juta keping penutup hidung dan mulut untuk diagihkan kepada rakyat Sarawak,” katanya.