Shah Rukh Khan rayu semua beri kerjasama bendung penularan Covid-19

Shah Rukh Khan gesa masayarakat sedunia patuh arahan dan elak berkumpul di tempat ramai bagi bendung Covid-19. (Gambar Instagram)

Penularan dengan begitu pantas wabak Covid-19 sememangnya tidak dapat dinafikan lagi.

Malah situasi yang sangat membimbangkan ini turut mendapat perhatian selebriti dunia termasuklah Shah Rukh Khan.

Bintang Bollywood itu menggesa peminatnya mengurangkan aktiviti di luar rumah bagi membendung penularan Covid-19.

Menerusi Instagram, Shah Rukh Khan atau SRK meminta masyarakat tidak mendedahkan diri dengan virus tersebut dan sentiasa mengikuti langkah-langkah pencegahan.

“Seluruh dunia diserang koronavirus yang telah menyebabkan malapetaka.

“Waktu sulit ini, jika kita semua bekerjasama kita akan dapat menghentikan bahaya ini dari menjadi kerosakan yang lebih parah,” katanya menerusi rakaman video di laman tersebut pada Jumaat lalu.

Dalam pada itu, SRK turut memaklumkan Mumbai sudah bersiap-sedia berdepan wabak tersebut terutamanya barisan petugas kesihatan.

“Tanpa peduli kesihatan mereka, pihak berwajib dan doktor di lapangan terbang sudah bersedia memeriksa setiap pelancong.

“Mereka semua melakukan tugas mereka. Kita kena memberikan kerjasama dengan mereka.

“Jadi apa yang boleh kita lakukan? Kita belajar jadi orang bertanggungjawab, tak kira di mana berada, sentiasa cuci tangan. Kalau boleh elakkan diri dari tempat ramai orang untuk 15 hari ini,” ujarnya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]