Ahli Parlimen Kuching pulih Covid-19

Kelvin Yii memuji petugas Hospital Umum Sarawak yang banyak membantu dan sangat profesional ketika merawatnya. (Gambar Facebook)

KUCHING: Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii yang disahkan positif Covid-19 pada 16 Mac lalu mengumumkan beliau pulih daripada jangkitan virus itu dan akan dibenarkan keluar hospital tidak lama lagi.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan malam tadi, beliau berkata, Jabatan Kesihatan memaklumkan 2 ujian terakhir yang dijalankan menunjukkan beliau negatif Covid-19, namun akan meneruskan pengasingan diri selepas dibenarkan keluar hospital sebagai langkah berjaga-jaga.

“Memandangkan 2 ujian menunjukkan keputusan yang baik, doktor membuat keputusan membenarkan saya keluar dari hospital, namun perlu terus berjaga-jaga,” katanya.

Yii turut memuji petugas Hospital Umum Sarawak yang banyak membantu dan sangat profesional ketika merawatnya.

“Saya berpeluang melihat sendiri sikap kemanusiaan terbaik apabila doktor dan jururawat serta pihak penjagaan kesihatan lain, termasuk pencuci yang bekerja keras semata-mata mahu memastikan kami selamat, menjaga kami dan melindungi masyarakat secara keseluruhannya,” katanya sambil meminta orang ramai terus memberikan sokongan penuh kepada Jabatan Kesihatan pada masa sukar ini.