Annuar akui timbul kekeliruan arahan pakai topeng di pasar raya

DBKL melonggarkan syarat untuk pekerja, pembekal dan pelanggan pasar raya, pasar awam serta restoran memakai topeng di premis terbabit.

PETALING JAYA: Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa akui timbul kekeliruan dalam kalangan pegawai peringkat bawahan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berhubung arahan mengenakan topeng semasa memasuki pasar raya, pasar awam serta restoran.

Annuar berkata, beliau sendiri terkejut mengenai arahan mewajibkan pemakaian topeng muka kepada semua kakitangan dan pelanggan pasar raya, mengatakan beliau tidak pernah mengeluarkan arahan sedemikian.

“Ada beberapa kekeliruan, bila kita buat arahan dan maklumat turun ke bawah, saya akui ada pentafsiran yang berbeza-beza. Contohnya soal perintah dari DBKL ditafsirkan memberi arahan hendak masuk pasar raya kena pakai topeng. Saya juga terkejut kerana setahu saya tidak ada arahan sebegitu.

“Mereka tunjukkan ada surat edaran arahan yang apabila dibaca pentafsirannya menyatakan kalau hendak masuk ke pasar raya kena pakai topeng. Sebenarnya arahan tidak bermaksud begitu, saya sudah minta datuk bandar betulkan.

“Sebenarnya, hendak masuk pasar raya bukanlah wajib kena pakai topeng, ia juga bukan prosedur operasi standard (SOP). Kita masih ikut panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), yang wajib pakai adalah petugas di barisan hadapan atau mereka yang tidak sihat,” katanya di Facebook, hari ini.

Menurut Annuar, tidak menjadi kesalahan orang awam yang mendapati diri mereka sihat masuk ke pasar raya tanpa menggunakan topeng.

“Tetapi, kalau semua hendak pakai, memanglah bekalan tidak cukup dan petugas di barisan hadapan pula tidak dapat,” katanya.

Terdahulu, DBKL dalam satu notis arahan bertindak melonggarkan syarat untuk semua pekerja, pembekal dan pelanggan pasar raya, pasar awam serta restoran memakai topeng di premis terbabit. Ia turut melonggarkan syarat untuk pengusaha menyediakan cecair pembasmi kuman dalam premis.

Syarat tertera dalam notis perintah pematuhan yang dikeluarkan pada 22 Mac lalu itu mendapat perhatian susulan kekurangan topeng ketika pihak berkuasa kesihatan hanya mencadangkan mereka yang menunjukkan simptom Covid-19 menggunakannya.

Katanya, jika mana-mana pasar raya, kedai serbaneka, restoran, pasar awam atau swasta gagal mematuhinya, premis itu akan diarahkan tutup di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Dalam notis baru yang dikeluarkan hari ini, DBKL berkata, pemakaian topeng dan penyediaan cecair pembasmi kuman digalakkan, tetapi syarat itu belum lagi diwajibkan. Bagaimanapun, DBKL mengekalkan syarat penjarakkan sosial 1m dan mengehadkan jumlah pelanggan dalam premis setiap masa.

Pada masa sama, Annuar turut memberitahu pihaknya akan membantu golongan gelandangan sekitar Kuala Lumpur.

Beliau berkata, walaupun arahan perintah kawalan pergerakan sudah dilaksanakan namun, masih ada gelandangan dilihat di sekitar ibu kota.

“Mereka ini ada pelbagai kategori, kaum dan tidur di merata tempat. Kita sudah buat keputusan, saya harap jangan ada yang salah faham, saya buat arahan supaya lebih ramai golongan itu dapat ditempatkan ke lokasi spesifik, iaitu di rumah gelandangan, Anjung Singgah.

“Sebelum ini, tempat itu tidak dapat digunakan sepenuhnya kerana tiada bantal dan tilam. Saya sudah berunding, kita akan segera bantu dan sediakan bantal serta tilam baru. Saya mahu ajak mereka duduk di satu tempat dan kita akan hantar makanan 3 kali sehari,” katanya.

Tambahnya, sebagai usaha jangka masa pendek, beliau mengalu-alukan sumbangan dalam pelbagai bentuk daripada mana-mana pihak kepada gelandangan dan pihaknya sudah mempersiapkan 9 lokasi tapak penyerahan sumbangan dikhususkan DBKL.

“Kita tidak galakkan badan bukan kerajaan berikan sendiri sumbangan kepada gelandangan, kerana khuatir tidak mengamalkan penjarakan sosial. Jadi kita selaraskan.

“Kalau ada mana-mana yang hendak hantar barang, boleh hantar ke lokasi penyerahan dan akan diterima petugas sebelum diserahkan kepada gelandangan,” katanya.