Syarikat bra tukar pengeluaran kepada pembuatan topeng bantu masalah kekurangan stok

Tidak kira dimana berada semua orang perlu memakai topeng supaya boleh elak daripada terkena wabak Covid-19.

Disaat kebimbangan masyarakat dunia mengenai penularan wabak Covid-19 semakin meningkat, satu-satunya alat yang boleh melindungi orang ramai daripada berjangkit tentulah topeng hidung dan mulut.

Namun apa yang lebih membimbangkan apabila bekal topeng ini semakin terhad malah ada juga yang mendakwa sudah kehabisan stok.

Demi mengekang masalah itu, sebuah syarikat “pakaian dalam” mengubah haluan produksi mereka dan kini menjadi pengeluar topeng.

Usaha syarikat Atsumi Fashion Co. itu tercetus apabila kawasan di Himi, Jepun dilaporkan mengalami kekurangan topeng apabila terdapat hanya 600 keping stok sejak Covid-19 menyerang negara itu.

Keutamaan syarikat itu tentunya membekalkan topeng kepada mereka di barisan hadapan iaitu mereka terlibat dalam bidang perubatan, institusi pendidikan serta mereka yang memerlukan.

Topeng muka yang dibuat oleh salah satu pengeluar pakaian dalam wanita. (Gambar Atsumi Fashion Co.)

Usaha itu turut tercetus apabila salah seorang kakitangan syarikat menyedari material pembuatan bra hampir sama dengan material yang digunakan dalam topeng.

“Kami harap dapat memberi sumbangan kepada masyarakat apabila berlakunya kekurangan stok topeng,” ujar Hiroshi Hinata, pengurus jualan syarikat itu memetik laporan Daily Star.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]