5 permainan video paparkan kesan pandemik

Days Gone (Gambar YouTube)

Dalam dunia fiksyen, sering dipaparkan fantasi bagaimana rupa dunia selepas masyarakat menghadapi kesan pandemik.

Malah ia boleh jadi reality sekiranya wabak gagal dibendung, apatah lagi dalam situasi sekarang di mana ia mudah untuk merentas negara atau negeri.

Salah satu medium paling berkesan dalam membawakan kisah manusia selepas mengharungi pandemik yang panjang, melalui permainan video.

Bersifat interaktif, permainan video mampu membolehkan kita menjalani sendiri fantasi yang cuba dibawakan secara maya seperti yang dipaparkan dalam iluminasi.com.

Berikut 5 permainan video yang menjadikan kehidupan selepas pandemik, sebagai topik utama.

1. Days Gone

Salah permainan video yang pada awalnya diberikan liputan hangat, “Days Gone” yang mula pada April 2019 diterima baik tetapi tidak lari daripada kritikan, kerana disifatkan tiada inovasi.

Bagaimanapun, penceritaannya dipuji kerana memaparkan kisah hidup manusia yang terus cuba bertahan walaupun dunia di sekeliling mereka sudah musnah – sehingga memerlukan permulaan baru.

“Days Gone” bermula 2 tahun selepas pandemik global membunuh majoriti manusia.

Individu yang dijangkiti bertukar menjadi makhluk yang hilang kawalan diri akibat perubahan virus yang menukarkan sifat mereka menjadi ganas.

Kelompok-kelompok individu yang terselamat daripada jangkitan, memencilkan diri dek takut dengan wabak yang melanda serta serangan “zombi-zombi manusia” yang berkeliaran merata-rata.

2. Left 4 Dead

Left 4 Dead (Gambar YouTube)

“Left 4 Dead” merupakan antara judul berbilang pemain paling mahsyur pada era kemuncaknya.

Kisah dalam permainan ini bermula selepas usaha kerajaan Amerika Syarikat menutup kebocoran virus yang dikenali dengan nama “Green Flu” dengan mengatakannya hanya sebagai influenza biasa, menyebabkan jangkitan kepada orang ramai.

“Green flu” dikatakan terhasil daripada jangkitan virus yang dibentuk berasaskan kepada virus sama penyebab penyakit anjing gila.

Setiap watak yang boleh dipilih oleh pemain merupakan individu-individu yang bersifat asymptomatic atau tiada simptom, walaupun mereka sebenarnya turut dijangkiti virus tersebut; yang mampu mengubah manusia.

3. DayZ

DayZ (Gambar YouTube)

Salah satu permainan yang cukup popular di kalangan peminat permainan video berorientasikan keperluan untuk terus hidup, “DayZ” memberikan pemain ruang sebesar 225km persegi yang akan menjadi lokasi di mana pemain perlu bertahan.

Pulau itu yang dahulunya merupakan sebahagian daripada Republik Chernarus kini kosong, hanya di huni penduduk asal pulau itu yang dijangkiti serta pemain-pemain lain.

4. Resident Evil

Resident Evil (Gambar YouTube)

Francais gergasi yang telah diterbitkan dalam terlalu banyak medium, melibatkan permainan video, filem, komik, siri animasi malahan novel, “Resident Evil” bermula dengan permainan pertama yang terbit pada tahun 1996.

Ia mengisahkan tentang 2 anggota polis, ditugaskan untuk menyiasat sebuah rumah agam di mana beberapa orang polis telah menghilangkan diri.

Selepas mereka tiba di rumah itu, didapati anjing serta manusia yang ada telah menjalani mutasi disebabkan oleh jangkitan wabak.

Tanpa disangka majoriti penghuni rumah agama itu telah pun dijangkiti sejenis virus yang hanya dikenali sebagai “T-Virus” atau “Tyrant virus”, dibangunkan untuk tujuan pembangunan senjata biologi.

Selepas insiden di rumah agam itu berakhir, virus itu gagal dikawal penularannya menyebabkan jangkitan mula merebak dan pandemik bermula.

5. The Last of Us

The Last of Us (Gambar YouTube)

Ini antara permainan video yang mampu mengalirkan air mata.

“The Last of Us” salah satu yang berjaya menggabungkan karya sinematik dan permainan video dengan sangat berkesan.

Ini kerana skrip serta jalan cerita judul ini diolah begitu baik berbanding banyak filem yang ada.

Mengisahkan tentang seorang lelaki pertengahan umur yang ditugaskan untuk menghantar seorang remaja wanita ke sebuah pusat kawalan, tanpa diceritakan sebabnya.

Amerika Syarikat pada ketika itu telah runtuh, disebabkan oleh pandemik wabak cordyceps yang melanda – menyebabkan tamadun manusia tiada jalan lain, melainkan berusaha menyelamatkan diri.

Sepanjang perjalanan jauh mereka berdua, lelaki bernama Joel itu mula mempelajari sebab kenapa dia perlu menghantar gadis bernama Ellie itu yang akhirnya memaksa dia membuat pilihan yang sangat sukar; sama ada mahu menyelamatkan seluruh tamadun manusia atau kembali merasai nikmat menjadi seorang ayah.

Sesuatu yang menakutkan berkenaan virus dalam judul ini, adalah kerana virus ini benar-benar wujud tetapi buat masa sekarang hanya menjangkiti serangga.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]