95% peserta tabligh tampil buat saringan Covid-19

Jemaah tabligh yang menghadiri ijtimak di Masjid Sri Petaling diminta menjalani saringan Covid-19.

KUALA LUMPUR: Sebanyak 95% peserta perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling tampil membuat saringan kesihatan bagi Covid-19, kata Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador.

Katanya, baki 5% lagi sedang dijejaki untuk memastikan mereka juga tampil membuat saringan Covid-19.

Beliau berkara polis menubuhkan pasukan petugas melibatkan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) di semua peringkat daerah dan kontinjen polis negeri dalam usaha mengesan mereka yang menghadiri perhimpunan tersebut dari 28 Feb hingga 1 Mac lalu.

“Hasil usaha ‘task force’ (pasukan petugas) dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kami mengenal pasti butiran penuh sehingga 10,000 daripada mereka dan masih mengesan yang lain,” katanya dalam satu temu bual khas sempena Hari Polis ke-213 pada program ‘Selamat Pagi Malaysia’ yang disiarkan melalui saluran TV1, RTM, hari ini.

Hamid berkata pihaknya kini aktif menghubungi anggota jemaah itu untuk mengingatkan mereka supaya mana-mana kenalan yang masih belum tampil membuat pemeriksaan saringan Covid-19 agar tampil berbuat demikian.

“Saya meminta orang ramai agar tidak mendiskriminasikan ahli tabligh ini kerana mereka tidak bersalah dalam hal ini yang boleh memberikan kesan negatif kepada ahli berkenaan,” katanya.

Beliau berkata polis sentiasa berinteraksi dengan pucuk pimpinan ahli tabligh untuk mendapatkan kerjasama dalam mengesan mereka yang masih belum tampil.

“Jadi saya mohon orang ramai untuk menghentikan kecaman, mencaci dan mengeluarkan kata-kata kesat kepada ahli tabligh,” katanya.

“Sebenarnya mereka memberikan kerjasama yang amat baik kepada pihak polis dan kami dapat butiran terbaru yang mereka perolehi daripada hasil usaha mereka sendiri (mengesan sesama ahli tabligh),” katanya.

Selain itu, Hamid meminta orang ramai berkongsi maklumat dengan polis jika ada pesakit atau mereka disyaki terkena jangkitan Covid-19 untuk bantu KKM.